Apandi tuntut kerajaan bayar ganti rugi

6,474

1 OKT: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menuntut ganti rugi daripada kerajaan kerana mendakwa perkhidmatannya ditamatkan secara tidak sah oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), lebih dua tahun lalu.

Beliau membuat tuntutan itu melalui surat kepada Pejabat Peguam Negara yang dikemukakan oleh firma guaman Tetuan Shukor Baljit & Partners, semalam.

Menurut Mohamed Apandi, penamatan khidmatnya melalui surat bertarikh 5 Jun 2018 oleh Ketua Setiausaha Negara menyebabkannya mengalami kehilangan dan kerugian antaranya kehilangan pendapatan, elaun dan faedah lain.

Surat itu menyatakan, Mohamed Apandi tiada pilihan lain selain meneruskan dengan tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi termasuk ganti rugi teladan jika tidak menerima sebarang tawaran pemulihan atau ganti rugi daripada kerajaan dalam tempoh tujuh hari.

Seperti dijelaskan dalam surat berkenaan, perkhidmatan Mohamed Apandi daripada 27 Julai 2015 sehingga 26 Julai 2018 hanya boleh ditamatkan melalui peruntukan Artikel 145(5) Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan itu menyatakan, tertakluk kepada Fasal (6), Peguam Negara hendaklah memegang jawatan selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dan boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dan, melainkan jika beliau ialah anggota Jemaah Menteri, hendaklah menerima apa- apa saraan yang ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Mohamed Apandi turut menyatakan bahawa pemecatannya itu adalah terbatal dan tidak sah.

Tuntutan itu juga menyatakan, surat daripada Ketua Setiausaha Negara menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong bersetuju dengan penamatan khidmat Mohamed Apandi, namun beliau tidak dikemukakan dengan sebarang dokumen yang membuktikan terdapat persetujuan itu.

Ia menyebut bahawa tindakan penamatan khidmat itu diatur dan diputuskan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamed yang menjalankan kuasa pemberhentian secara tidak sah.

“Kami mendapat arahan daripada anak guam bahawa Perdana Menteri ketika itu menyalahgunakan kedudukan selaku pegawai awam dan melakukan salah guna di pejabat awam.

“Perdana Menteri ketika itu juga ketika melakukan tindakan terbabit, menyedari serta berniat untuk menyebabkan pelanggaran kontrak di antara kerajaan dan anak guam kami.

“Tindak-tanduk Perdana Menteri terbabit juga adalah menggunakan kuasa yang tidak sah di sebalik kedudukannya,” katanya.

Memetik laporan BH Online, Mohamed Apandi ketika dihubungi berkata, beliau hanya menjalankan hak perundangan terhadap kuasa dan kedudukan Dr Mahathir yang menamatkan khidmatnya tanpa alasan sah, selepas lanjutan perkhidmatannya diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.