Waspada taktik jahat sabotaj penyatuan ummah

515

30 SEPT: Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) perlu berwaspada dengan sabotaj yang dilakukan oleh pihak lawan bagi memecahbelahkan parti-parti dalam kedua-dua gabungan politik itu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, pihak musuh sedang berusah menggagalkan penyatuan ummah dalam apa cara sekali pun.

Menurut beliau, perpecahan boleh berlaku akibat kesilapan sendiri justeru semua pihak dalam PN dan MN hendaklah bersama-sama memperbetulkan kesilapan, bukannya mengulanginya atau memburukkan lagi keadaan.

Amzad Hashim
AHMAD AMZAD HASHIM

“Seorang dua yang terlanjur bercakap melukakan hati kawan. Berderu-deru ejen pemecah belah dari pihak musuh menyelinap, menyamar, menggunakan nama, laman, media yang seolah-olah dari kalangan kita untuk menyalakan lagi api perbalahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kebelakangan ini, muncul beberapa laman Facebook yang kononnya menyokong PN dan MN namun menularkan berita palsu yang bertujuan menggagalkan usaha menyatupadukan umat Islam dan orang Melayu.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu turut dilakukan oleh beberapa portal yang pro-Pakatan Harapan.

Amzad yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menambah, PAS turut berdepan serangan serupa oleh laman yang dikuasai oleh golongan pengkhianat yang meninggalkan parti itu.

Beliau memberi contoh laman ‘Peguam PAS-Dulu’ yang masih mengekalkan nama parti tersebut.

Amzad menjelaskan, golongan yang keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO turut melakukan sabotaj terhadap parti lama mereka melalui media sosial.

“Itu belum lagi Red Bean Army (RBA) yang jelas memainkan peranannya. Mereka akan terus jadi batu api untuk saling melaga-lagakan. Suburkan isyarat perpaduan. Itu akan melemahkan mereka. Perbanyakkan istighfar,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.