Tunggu 14 hari mohon umrah kali kedua

42

30 SEPT: Umat Islam yang mengerjakan umrah hanya boleh membuat tempahan tarikh mengerjakan ibadat itu untuk selepas tempoh 14 hari.

Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menjelaskan, jemaah umrah boleh membuat tempahan melalui aplikasi I’tamarna dengan menggunakan platform Android yang akan dilancarkan sedikit masa lagi.

“Jemaah boleh mengerjakan ibadat umrah sebanyak dua kali, tetapi perlu menunggu sehingga 14 hari sebelum dibenarkan mengerjakan ibadat itu kali kedua.

“Ia membolehkan semua penduduk berpeluang mengerjakan ibadat umrah selari dengan pelbagai langkah keselamatan diambil bagi mengelakkan penularan koronavirus,” kata Ketua Perancang dan Strategi kementerian berkenaan, Dr Amr Al-Maddah kepada Arab News.

Beliau menambah, kementeriannya juga sedang meneliti lokasi bersesuaian yang boleh dimanfaatkan bagi membolehkan penjarakan fizikal dilaksanakan.

Jemaah akan mula menunaikan umrah pada 4 Oktober untuk fasa pertama umrah tahun ini, dan perlu mematuhi protokol dan prosedur kesihatan.

Pada fasa pertama, jemaah haji akan mengerjakan umrah pada enam waktu berbeza dalam sehari, dengan memberikan setiap jemaah tiga jam waktu untuk mengerjakannya.

Amr memberitau setakat ini pihaknya telah menerima 35,000 permohonan bagi pendaftaran umrah.

Menurut beliau, jemaah akan memulakan ibadat umrah pada waktu tengah malam dan kesemua lokasi akan dinyahkuman sebelum ketibaan kumpulan jemaah.

Setiap kumpulan jemaah juga akan dipantau oleh penyelia bagi memastikan prosedur operasi standard dipatuhi.

Selain itu, bilik kuarantin turut disediakan di hotel bagi mengendalikan keadaan sekiranya disyaki terdapat kes COVID-19.

Kementerian itu turut memaklumkan fasa kedua umrah dijadualkan bermula dua minggu selepas fasa pertama dengan penilaian secara komprehensif daripada operasi bagi fasa pertama akan dibuat untuk mengenal pasti kekurangan kepada kaedah pengendaliannya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.