Polis Sabah akan ambil keterangan Mohamaddin

135

30 SEPT: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah akan merekod keterangan pemimpin kanan Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohamaddin Ketapi berhubung dakwaannya mengenai pencerobohan Lahad Datu oleh pengganas Sulu sebagai sandiwara dalam masa terdekat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, janji temu dibuat polis sudah dipersetujui Mohamaddin bagi membolehkan rakaman percakapan dilakukan.

“Kita akan panggil beliau (Mohamaddin), janji temu sudah dibuat. Mohamaddin bersetuju untuk beri keterangan.

“Satu pasukan ditubuhkan terdiri daripada JSJ Sabah (akan rekod percakapan bekas menteri itu),” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.

Mohamaddin yang menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila mendakwa pencerobohan Lahad Datu adalah satu sandiwara.

Malah, bekas menteri PH itu dalam ceramahnya ketika kempen PRN Sabah itu menyifatkan anggota keselamatan hanya berperang dengan ayam dan anjing dalam insiden berkenaan.

Beliau kemudian bagaimanapun memohon maaf dan memaklumkan tidak berniat menghina.

Sementara itu, Huzir memaklumkan, polis sedang memperkemaskan lagi kertas siasatan berhubung kes Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang melanggar arahan kuarantin wajib.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat susulan arahan terbaharu daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Get real time updates directly on you device, subscribe now.