Lapor laman FB palsu Armada Bersatu PPBM

140

30 SEPT: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) menegaskan bahawa laman Facebook ‘Armada Bersatu PPBM’ merupakan laman palsu dan langsung tiada kaitan dengan sayap tersebut.

Ketua Penerangannya, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, ‘Armada Bersatu Malaysia’ merupakan laman Facebook rasmi Armada yang menyampaikan maklumat yang tepat tentang parti.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa laman Facebook palsu itu pada asalnya adalah milik Armada.

MOHD ASYRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR

“Armada maklum bahawa laman ‘Armada Bersatu PPBM’ yang sebelum ini merupakan laman rasmi telah digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang sebelum ini menguruskan Penerangan Armada di bawah kepimpinan Armada terdahulu.

“Mereka yang tidak menyerahkan atau memindahkan urusan operasi laman tersebut kepada kepimpinan penerangan semasa biarpun telah dipohon secara baik kepada mereka yang terlibat dalam mengendalikan laman tersebut.

“Laman Armada yang rasmi tidak pernah digunakan untuk melakukan hal-hal seperti ‘troll’ atau mempersenda pesaing politik apatah lagi rakan gabungan melainkan sebagai medan penyaluran maklumat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Ashraf memberitahu, Armada telah membuat laporan polis susulan tingkah bacul dan tidak berintegriti mereka yang bukan lagi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau menambah, pihaknya akan sentiasa melakukan pemantauan perkembangan laman palsu yang boleh menimbulkan huru-hara dan perpecahan politik itu.

“Umum maklum bahawa laman ini jelas digunakan bagi menimbulkan kecelaruan dan mencalar urusan siyasah yang terkait dengan Bersatu.

“Kami memohon ahli Armada dan warga Bersatu seluruhnya untuk membantu memainkan peranan membuat laporan laman palsu kepada ‘Facebook’ (Facebook Report) atas laman Armada Bersatu PPBM dalam hasrat Facebook dapat menutup laman palsu ini.

“Sila pastikan nama laman tersebut ialah: Armada Bersatu PPBM dan terus ambil tindakan buat laporan kepada pihak polis atau Kementeria Komunikasi dan Multimedia,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.