Bincang pelucutan senjata nuklear secara demokratik

131

30 SEPT: Malaysia berharap Perjanjian Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW) dapat mengubah wacana mengenai pelucutan senjata nuklear daripada perbincangan yang dikuasai oleh negara-negara kuasa nuklear dan negara-negara bersenjata nuklear kepada perbincangan yang lebih demokratik dan saksama.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, semua negara mempunyai suara yang sama penting dalam isu tersebut.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu, Malaysia menyeru agar semua negara meratifikasi TPNW secepat mungkin.

Menurut Hishammuddin, kerajaan Malaysia juga akan bekerjasama dengan negara-negara lain bagi merealisasikan matlamat dunia bebas dari ancaman senjata nuklear.

“Apabila ia berkuat kuasa di peringkat antarabangsa kelak, TPNW akan melengkapi undang-undang antarabangsa berhubung pelucutan senjata nuklear, termasuk Perjanjian Mengenai Ketakcambahan Senjata Nuklear (NPT).

“TPNW juga akan mengukuhkan lagi norma bahawa senjata nuklear tidak boleh diterima sama sekali, tidak boleh digunakan, tidak boleh diancam untuk digunakan dan perlu disingkirkan dan dihapuskan dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam kenyataan sama, Hishammuddin memaklumkan beliau telah menandatangani surat cara pengratifikasian TPNW mewakili kerajaan Malaysia dalam satu majlis di Putrajaya, hari ini yang disaksikan wakil-wakil kementerian dan agensi kerajaan Malaysia, kedutaan-kedutaan asing, serta pertubuhan antarabangsa, bukan kerajaan dan masyarakat madani.

Beliau menjelaskan, TPNW akan mula berkuat kuasa di peringkat antarabangsa 90 hari selepas surat cara pengratifikasian ke-50 disampaikan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Tambahnya, sehingga kini, sebanyak 46 buah negara telah meratifikasi Triti tersebut.

“Malaysia menandatangani TPNW sebaik sahaja ianya dibuka untuk tandatangan pada 20 September 2017. Dengan meratifikasi perjanjian tersebut, Malaysia menyumbang kepada berkuatkuasanya TPNW di peringkat antarabangsa dan menggesa negara-negara lain untuk mengikuti langkahnya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata pengratifikasian TPNW oleh Malaysia adalah suatu usaha penting ke arah pelucutan senjata nuklear di persada antarabangsa.

“Tindakan ini juga mencerminkan komitmen dan sokongan Malaysia yang tidak berbelah bahagi terhadap penghapusan senjata nuklear secara menyeluruh,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.