WKB 2030 diterjemah dalam RMK-12, RMK-13

216

29 SEPT: Pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dalam tempoh 10 tahun akan datang bakal diterjemahkan melalui program, inisiatif dan projek pembangunan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan RMK-13 di semua peringkat kementerian, jabatan dan agensi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, WKB 2030 berhasrat mencapai makna kesejahteraan dan kemakmuran yang sebenar.

“Kemakmuran tidak bermakna apabila hanya dikecapi oleh sebahagian rakyat manakala sebahagian lagi ketinggalan di belakang.

“Wawasan ini adalah sebuah model yang dibangunkan dengan citra Malaysia. Kita rakyat Malaysia semuanya adalah pemacu WKB 2030.

“Hanya dengan melakukannya bersama kita akan dapat membina kemakmuran dan kesejahteraan bersama bagi seluruh rakyat Malaysia, insya-Allah,” katanya menerusi catatan di Facebook beliau hari ini.

Muhyiddin terdahulu hadir ke Sesi Balai Rakyat atau Town Hall ‘Makmur Bersama’ anjuran Institut Masa Depan Malaysia (MASA) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Menurut Perdana Menteri, WKB 2030 dekat di hati beliau kerana telah terlibat dari awal untuk membangunkannya.

Katanya, wawasan ini menjadi teras utama dasar-dasar kerajaan yang bertujuan merapatkan jurang ekonomi dalam masyarakat.

“WKB 2030 juga bermatlamat mewujudkan sebuah negara yang maju dan bersatu-padu dengan segala hasil kemakmurannya dikongsi secara adil oleh segenap lapisan masyarakat,” jelasnya.

Tambah Muhyiddin, sesi Town Hall hari ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk memperjelaskan hasrat WKB 2030 sebagai aspirasi utama kerajaan.

“Pada sesi hari ini saya sempat menjawab beberapa soalan yang dikemukakan oleh peserta. Antara isu yang dibangkitkan ialah tentang politik ras, kelestarian pembangunan Kuala Lumpur, pemerkasaan wanita terutama di bandar, jurang digital dialami golongan B40, soal perpaduan serta pelaksanaan WKB 2030 di Sabah dan Sarawak.

“Saya boleh katakan bahawa WKB 2030 adalah kesinambungan usaha untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan merapatkan jurang dalam masyarakat dengan mengambil kira realiti serta cabaran baharu yang dihadapi oleh negara termasuk COVID-19,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.