Wartawan mati ditembak pembunuh bermotosikal

202

29 SEPT: Seorang wartawan Honduras, Luis Almendares yang sering mengkritik kerajaan mati akibat ditembak dua individu bermotosikal, kelmarin.

Mangsa yang berumur 35 tahun merupakan wartawan ke-85 yang terbunuh di negara itu dalam masa 20 tahun.

Memetik laporan AFP, ketika kejadian, Almendares sedang mengunjungi sebuah kedai di Comayagua, kira-kira 60 kilometer utara bandar Tegucigalpa, sebelum ditembak beberapa kali.

“Dia didatangi dua individu yang menaiki motosikal dan menembaknya berulang kali,” kata polis dalam kenyataan.

Dia kemudian dihantar ke hospital dengan kecederaan akibat tembakan, sebelum disahkan meninggal dunia awal pagi semalam, kata Pengarah Jawatankuasa Ekspresi Bebas, Amada Ponce.

Ponce menambah, Almendares, pekerja sambilan yang menggunakan media sosial untuk mengkritik pemerintahan Presiden Juan Orlando Hernandez, sudah beberapa kali membuat laporan kepada polis dan Sistem Perlindungan Negara selepas menerima ugutan bunuh.

Kerajaan Honduras menubuhkan Sistem Perlindungan Negara pada 2015, susulan kebimbangan dinyatakan Pertubuhan Negara-negara Amerika dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung pembunuhan yang tinggi membabitkan peguam, pembela hak dan wartawan.

Presiden Persatuan Wartawan Honduras, Dagoberto Rodriguez, mengumumkan kumpulannya menarik diri dari sistem perlindungan itu ekoran kematian Almendares.

“Kerajaan membiarkan sistem ini tidak berfungsi dengan tidak menyalurkan bantuan logistik atau kewangan,” jelasnya.

Beliau turut menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membunuh wartawan dan pengamal media.

Jun lalu, seorang wartawan dan jurukamera ditembak mati di Pelabuhan La Ceiba, Caribbean dan dua ahli kumpulan yang disyaki terbabit dengan kejadian itu ditahan.

Namun, Ponce memberitahu AFP, lebih 90 peratus daripada 85 pembunuh wartawan di Honduras sejak 2001 tidak dihukum.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.