Usaha bangunkan Sabah lebih mudah – PM

86

29 SEPT: Usaha kerajaan Persekutuan membangunkan Sabah akan lebih mudah, khususnya membabitkan aspek perancangan apabila Persekutuan dan negeri mempunyai persefahaman yang sama.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam hal iniharus diakui yang pembangunan dan taraf sosioekonomi antara penduduk di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak masih ada jurang.

Bagaimanapun, katanya, komitmen untuk merintis kemajuan Negeri Bawah Bayu itu bukan sekadar di bahu kerajaan Persekutuan, sebaliknya memerlukan komitmen pelbagai pihak, termasuk kerajaan negeri.

“Sukacita kita sudah menang di Sabah, jadi ia akan mudahkan untuk rancang dan duduk dengan kerajaan negeri.

“Saya kata begitu bukan hanya kerana ia sebelum ini dipimpin pembangkang, tetapi untuk tempoh akan datang, persefahaman antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amat penting,” katanya pada Sesi Balai Rakyat Makmur Bersama, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Mohd Nizam Mahshar.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut melancarkan portal Makmur Bersama bagi membolehkan rakyat Malaysia memberi input, maklum balas dan cadangan berkaitan WKB 2030.

Sementara itu, ketika menyampaikan ucaptama pada majlis itu, Muhyiddin berkata, pelaksanaan rangkaian inisiatif Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 berkemungkinan perlu diteliti semula dengan mengambil kira impak pandemik COVID-19.

Katanya, kesan penularan wabak itu terhadap beberapa teras strategik WKB 2030 sedang ditangani menerusi inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Misalnya, beliau berkata, teras satu dan dua WKB 2030, iaitu ekosistem perniagaan dan industri serta aktiviti pertumbuhan ekonomi utama, dirangsang semula pascapandemik itu melalui penyaluran dana berkaitan.

“Kerajaan melalui geran khas PRIHATIN untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menyalurkan bantuan kewangan secara sekali pemberian khusus bagi meringankan beban perniagaan mereka yang terjejas akibat wabak COVID-19.

“Sebanyak RM1.63 bilion disalurkan kepada 544,688 PKS mikro yang layak.

“Selain itu, sebanyak RM9.57 bilion diluluskan kepada 20,769 PKS yang layak bawah program Kemudahan Bantuan Khas (SRF), dan RM28.7 juta disalurkan kepada 171 PKS menerusi program PENJANA Pembiayaan PKS (SPF).

“Hampir 300 permohonan juga diterima bawah inisiatif pembiayaan mudah Bumiputera Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) membabitkan jumlah pembiayaan sebanyak RM173.6 juta,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.