Musa yakin Hajiji mampu pulih ekonomi Sabah

208

29 SEPT: Ketua Menteri Sabah yang baharu, Datuk Seri Hajiji Noor berupaya membawa negeri itu ke arah kebangkitan ekonomi dan kepesatan pembangunan di bawah pentadbirannya.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berkata, dua perkara itu amat diperlukan untuk membantu rakyat negeri berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan Hajiji sebagai tokoh yang amat tepat dilantik untuk menyandang jawatan tertinggi pentadbiran kerajaan negeri Sabah.

musa aman
MUSA AMAN

“Saya sudah lama mengenali Hajiji dan beliau sudah lama berkhidmat sebagai menteri dalam kabinet semasa saya masih seorang Ketua Menteri.

“Beliau sentiasa memberi komitmen penuh dan profesional terhadap tanggungjawabnya ketika itu.

“Walaupun Hajiji adalah seorang individu yang penyayang namun pada masa yang sama beliau adalah pemimpin yang tegas, dapat membuat keputusan tanpa rasa takut mahupun pilih kasih,” katanya dalam satu kenyataan melalui laman Facebook beliau, hari ini.

Musa juga mengucapkan tahniah kepada Hajiji atas pelantikan tersebut.

Hajiji mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah ke-16 di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, Kota Kinabalu, pagi tadi.

Tiga timbalannnya iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam turut mengangkat sumpah jawatan masing-masing dalam istiadat berkenaan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.