Laporan isu Felda dibawa ke Kabinet

107

29 SEPT: Laporan Pasukan Khas Menangani Isu Felda telah siap untuk dibentangkan kepada Kabinet dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, laporan tersebut disiapkan selepas beberapa sesi libat urus diadakan termasuk bersama pengurusan Felda.

“Kita hampir ke penghujung…kita dalam proses untuk pergi kepada Kabinet dan membincangkan perkara itu dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita di Putrajaya, hari ini.

MUSTAPA MOHAMED

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Perbincangan Meja Bulat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC)-Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pembasmian Kemiskinan dan Menangani Kerentanan dalam Normal Baharu.

Laporan pasukan khas tersebut dibuat susulan pembentangan kertas putih Ke Arah Kelestarian Felda di Parlimen pada April tahun lalu.

Mustapa berkata laporan itu telah dikemukakan oleh pengerusi pasukan khas berkenaan, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

“Pelbagai cadangan telah dibuat, tapi yang penting adalah untuk dua perkara iaitu menyelesaikan beberapa masalah jangka pendek khususnya aliran tunai yang dihadapi Felda serta memastikan ia menjadi sebuah organisasi yang lestari,” jelasnya.

Beliau berkata bagi merealisasikan dua perkara tersebut, penting untuk meneliti model baharu Felda.

Pada Julai lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan penubuhan pasukan petugas khas bagi mencari kaedah terbaik untuk memastikan kemapanan kewangan dan kelestarian Felda.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.