Kerajaan PN pelihara maqasid syariah walau tanpa slogan

120

29 SEPT: Pendekatan pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah berlandaskan kepada lima prinsip dalam Maqasid Syariah iaitu memelihara agama, nyawa, akal, harta dan keturunan sekali pun tidak dinyatakan dalam bentuk slogan atau label.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, salah satu contoh ialah tema ‘Malaysia Prihatin’ yang menjadi aspirasi kerajaan PN untuk memastikan kesihatan rakyat terpelihara daripada ancaman COVID-19 dan keadaan ekonomi negara yang mesti dipulihkan secepat mungkin.

Katanya, walaupun pada zahir tidak nampak prinsip-prinsip maqasid ini diuar-uarkan sebagai kerangka yang menjadi panduan dalam tindakan menangani pandemik ini, hakikatnya ia telah menjadi prinsip-prinsip panduan atau “guiding principles” dalam menggerakkan usaha kerajaan untuk menanganinya.

“Sebagai umat Islam, adalah menjadi kewajipan kita semua untuk menegakkan Maqasid Syariah walau dalam apa jua keadaan.

“Islam sebagai agama yang syumul mempunyai penyelesaian terhadap segala permasalahan atau cabaran baharu demi menjaga kemaslahatan ummah,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook beliau berhubung majlis perasmian Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara 2020 yang disemprunakannya di sebuah hotel di Sepang, Selangor hari ini.

Sementara itu, kata Perdana Menteri, kerajaan pimpinannya sentiasa komited dalam menyokong usaha-usaha yang boleh menyumbang ke arah meninggikan martabat institusi kehakiman dan perundangan syariah.

Kata Muhyiddin, Mahkamah Syariah yang merupakan institusi kehakiman dan perundangan syariah akan terus dipertahankan serta diperkasakan dari semasa ke semasa.

Katanya, ini termasuk melakukan penambahbaikan secara berterusan terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah, perjawatan Hakim-hakim Syarie dan profesionalisme pegawai-pegawai syariah.

“Saya percaya penambahbaikan secara berterusan ini akan dapat melonjakkan imej institusi kehakiman dan perundangan syariah dalam menangani kes-kes yang semakin kompleks dan mencabar. Insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, persidangan berkenaan amat bermakna kerana melibatkan pembentang kertas kerja dari Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura dan Indonesia yang mengikutinya secara sidang video.

Katanya, persidangan tiga hari ini memberi peluang kepada pengamal undang-undang syariah di empat negara tersebut menimba lebih banyak ilmu pengetahuan terutama dalam konteks amalan norma baharu dalam sistem kehakiman dan perundangan syariah.

“Persidangan ini juga dapat merapatkan hubungan kerjasama dalam bidang kehakiman syariah antara negara serantau.

“Bertemakan ‘Aplikasi Maqasid Al-Syar’iyyah: Ke Arah Pembudayaan Norma Baharu Dalam Sistem Kehakiman dan Perundangan Syariah’, saya percaya cabaran semasa yang sedang dialami bukan sahaja oleh umat Islam di negara kita malah penduduk di seluruh dunia yang masih bergelut dengan cabaran COVID-19,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.