Industri lada Malaysia perlu pelabur besar

75

29 SEPT: Industri lada di negara ini memerlukan pelabur besar untuk membuka ladang bagi pengeluaran secara besar-besaran.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin berkata, kementerian mengalu-alukan pelabur dari dalam dan luar negara untuk membuka ladang di Sarawak.

Menurut beliau, industri lada negara perlu mengambil langkah seperti negara pengeluar lada yang lain iaitu Vietnam, Brazil, Indonesia dan India dalam menarik pelabur besar untuk melabur dalam ladang mereka.

“Misalnya, Vietnam membawa masuk pelabur dari India untuk menanam lada dalam skala yang besar di negara itu,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Lembaga Lada Malaysia (MPB) di Kuching, semalam.

Malaysia merupakan negara pengeluar lada kelima terbesar di dunia selepas Vietnam, Brazil, Indonesia dan India serta 98 peratus tanaman lada di negara ini ditanam di Sarawak.

Willie menambah, pengeluaran lada negara pada tahun ini merosot kepada 30,000 tan metrik berbanding 35,539 tan metrik pada tahun lepas berikutan pelbagai faktor termasuk cuaca yang tidak menentu dan pandemik COVID-19.

Beliau menjelaskan, berdasarkan data daripada Sistem E-Pekebun MPB setakat 15 Sept lepas, terdapat 36,682 pekebun lada di Malaysia dengan kawasan tanaman seluas 7,659 hektar.

Willie turut menggesa pekebun lada untuk terlibat dalam aktiviti hiliran yang menjanjikan harga lebih tinggi bagi komoditi itu serta mengikuti program yang dianjurkan MPB.

Beliau memberitahu, MPB telah menubuhkan anak syarikat, Saraspice Sdn Bhd untuk mempromosi dan memasarkan lada Sarawak dalam pasaran tempatan dan antarabangsa, selain terlibat dalam aktiviti hiliran produk berasaskan lada.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.