Hajiji angkat sumpah KM, era baharu politik Sabah

548

29 SEPT: Datuk Seri Hajiji Noor mencatatkan sejarah tersendiri sebagai Ketua Menteri Sabah yang pertama dilantik dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu lalu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah itu mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, Kota Kinabalu, pagi ini.

Istiadat tersebut sekali gus menandakan era baharu politik dan pentadbiran di Sabah di bawah GRS yang dianggotai Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Pelantikan Hajiji, 65, merupakan manifestasi permuafakatan politik yang teguh lagi jitu dalam kalangan parti politik yang membentuk GRS di mana mereka lebih mengutamakan kestabilan dan kesejahteraan rakyat berbanding agenda peribadi.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga dicadangkan untuk jawatan Ketua Menteri menunjukkan jiwa yang besar apabila memberi laluan kepada Hajiji untuk menerajui pentadbiran kerajaan negeri Sabah.

Permuafakatan yang dicapai itu sekali gus memadamkan segala spekulasi kononnya krisis politik baharu bakal tercetus di Sabah akibat perebutan jawatan Ketua Menteri selain kegiatan ‘membeli sokongan’ oleh pihak lawan.

Spekulasi timbul apabila proses pencalonan Ketua Menteri Sabah tertangguh selama dua hari sebelum GRS mencapai kata sepakat menamakan Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman semalam.

Bung Moktar Radin mengangkat sumpah jawatan Timbalan Ketua Menteri I Sabah.

Sementara itu, Bung Moktar mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri I Sabah dalam istiadat tersebut.

Beliau yang juga ADUN Lamag turut memegang jawatan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Jeffrey Kitingan mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri II Sabah.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri II.

ADUN Tambunan itu turut memegang portfolio Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah.

Datuk Dr Joachim Gunsalam dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III Sabah

Naib Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri III

Beliau turut menyandang jawatan Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah.

Istiadat tersebut turut menyaksikan Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim mengangkat sumpah jawatan masing-masing. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.