Terima kekalahan, jangan jadikan PRN sarkas

328

28 SEPT: Pihak yang kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu lalu mesti menghentikan cubaan menggunakan tafsiran lemah Perlembagaan Negeri Sabah untuk menghalalkan pelantikan Ketua Menteri dari Parti Warisan Sabah (Warisan).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, pihak yang kalah mesti mendengar suara demokrasi kerana jika tidak rakyat akan meluat.

“Drama proses perlantikan Ketua Menteri setiap kali selepas pilihan raya perlu dihentikan. Rakyat akan meluat.

“Jangan jadikan proses pilihan raya Sabah seperi badut sarkas. Kita malu!,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau hari ini.

Warisan yang hanya menang 29 daripada 73 kerusi dipertandingkan dikatakan masih berusaha untuk menjadi kerajaan negeri antaranya bersandarkan kepada peruntukan Artikel 6 (7) Perlembagaan Negeri.

Penyokong mereka mendakwa hanya mereka yang mempunyai kerusi terbanyak layak menjadi Ketua Menteri walaupun peruntukan berkenaan jelas kabur.

Ini kerana bagi kebanyakan pandangan ia masih merujuk kepada parti yang mempunyai jumlah kerusi majoriti melebihi 50 peratus.

Gabungan Rakyat Sabah yang memperoleh kerusi majoriti bersepakat memilih ADUN Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri yang dijadualkan mengangkat sumpah esok.

Sementara itu, Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Tuaran mengucapkan tahniah dan syabas kepada calon Ketua Menteri Sabah dari Gabungan Rakyat Sabah seperti yang diputuskan iaitu Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.

“Tahniah dan syabas. Kerajaan beliau akan didokong oleh UMNO Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidari Tanah Airku (Star).

“Insya-Allah GRS akan pastikan Sabah ditadbir dengan baik demi untuk masa depan rakyat Sabah,” jelasnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.