PM seru graduan mohon KPT-CAP, dijamin peluang kerja

127

28 SEPT: Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) – Program Kemajuan Kerjaya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT-CAP) akan memastikan para graduan memperoleh pekerjaan setelah mereka menamatkan Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran yang telah ditetapkan.

Justeru itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru agar graduan memohon program tersebut yang memanfaatkan peluang bagi meningkatkan kemahiran dalam memanfaatkan peluang pekerjaan kstika ekonomi sedang beransur pulih.

Menurut beliau, kursus-kursus ini sebenarnya direka bentuk mengikut kehendak dan keperluan yang ditetapkan oleh syarikat-syarikat yang bakal mengambil graduan tersebut sebagai pekerja mereka.

“Contohnya kursus Smart Trucker. Kandungan pengajaran dalam kursus ini direkabentuk berdasarkan kemahiran-kemahiran yang diperlukan oleh syarikat logistik yang mengeluarkan ‘Letter of Commitment’ (LOC) kepada KPT. Justeru, habis sahaja tempoh kursus, graduan tadi akan ditawarkan untuk bekerja dengan syarikat logistik
tersebut.

“Saya difahamkan setelah pelancaran program pada hari ini, graduan-graduan sudah boleh memohon program KPT-CAP ini melalui portal Graduates Reference Hub for Employment and Training atau GREaT yang disediakan oleh pihak KPT.

“Oleh itu, saya ingin menyeru kepada saudara-saudari graduan tahun 2020 dan tahun 2019 yang belum bernasib baik mendapat pekerjaan, bolehlah memanfaatkan peluang untuk menambah kemahiran dan nilai kompetensi seterusnya membantu meningkatkan kebolehpasaran diri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Majlis Pelancaran Pelan KPT-CAP di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, hari ini.

Turut hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Dalam pada itu, Muhyiddin memberitahu, para graduan dan mahasiswa perlu melihat keusahawanan sebagai salah satu cabang kerjaya berpotensi besar yang boleh diteroka oleh pelajar dan graduan.

Tambahnya, bidang keusahawanan bukan sahaja menawarkan penjanaan pendapatan kepada pengusahanya tetapi sebagai “job creator” iaitu berupaya mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada orang lain melalui perniagaan yang dijalankan.

“Saya difahamkan pada masa ini, KPT sedang giat membangunkan Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025 bagi memastikan kesinambungan pemerkasaan agenda keusahawanan di IPT melalui Pelan Tindakan yang akan tamat pada tahun ini.

“Saya berharap pelan tindakan yang akan dihasilkan ini berupaya memartabatkan agenda keusahawanan di IPT secara lebih menyeluruh melalui pengukuhan ekosistem keusahawanan yang lengkap,” katanya. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.