Perkukuh sistem maklum balas di setiap peringkat

80

28 SEPT: Sistem maklum balas daripada peringkat bawah ke pengurusan dalam kalangan pemimpin perlu diperkukuhkan bagi memastikan keperluan sebenar rakyat dipenuhi.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah sedemikian akan mewujudkan aspek integrasi dan kerjasama dalam setiap dasar yang digubal dengan lebih berkesan.

“Dengan berbaki hanya 10 tahun untuk mencapai Agenda Pembangunan Lestari 2030, kita tidak sepatutnya sekadar memberi penekanan terhadap rangkaian cabaran dan aspirasi digariskan.

“Sebaliknya, kita perlu memberi laporan dan mempamerkan pelan tindakan kita, selain kadar prestasi dan usaha dilaksanakan bagi mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), selari tekad Malaysia untuk menjadi negara bandar lestari.

“Tidak dinafikan semua ini memerlukan usaha bersepadu oleh kementerian dan agensi di peringkat nasional, negeri serta tempatan untuk bekerjasama, selari dasar dan strategi digariskan,” katanya pada ucaptama Perasmian Forum Bandar Malaysia (MUF) 2020 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di ibu negara hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Timbalannya, Datuk Seri Dr Ismail Abdul Muttalib dan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Program Penempatan Manusia (UN-Habitat), Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif.

Bertemakan ‘Negara Bandar Lestari 2030 – Tindakan Dan Wadah Transformatif Untuk Merealisasikan Agenda Lestari’, forum berlangsung setiap tahun itu, menampilkan kelainan susulan pandemik COVID-19.

Penganjuran tahun ini dianjurkan secara hibrid dengan menampilkan 164 pakar merangkumi pelbagai bidang dan dihadiri lebih 10,000 peserta secara dalam talian.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.