Kematian akibat COVID-19 kini lebih sejuta

36

28 SEPT: Jumkah kematian global akibat pandemik COVID-19 yang mula dikesan di Wuhan, China kurang setahun lalu sebelum merebak ke seluruh dunia kini melepasi satu juta kes.

Pandemik itu menjejaskan ekonomi global, meningkatkan ketegangan geopolitik dan mengubah normal kehidupan penduduk dunia.

Setakat ini COVID-19 mengorbankan 1,000,009 mangsa daripada 22 juta kes jangkitan yang direkodkan.

Amerika Syarikat (AS) merekodkan angka kematian tertinggi dengan lebih 200,000 kes, diikuti Brazil, India, Mexico dan Britain.

Kumpulan saintis giat membangunkan vaksin, manakala negara di dunia berusaha mengekang penularan virus berkenaan. Walaupun usaha itu berjaya memperlahankan penyebaran, ia tetap menjejaskan ekonomi dunia.

Eropah yang dilanda gelombang pertama, kini menghadapi lonjakan semula kes dengan Paris, London dan Madrid terpaksa memperkenalkan kawalan untuk memperlahankan penularan virus.

Pada pertengahan September lalu, peningkatan kes dapat disaksikan di kebanyakan negara dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kes kematian boleh meningkat kepada dua juta jika tiada tindakan secara kolektif di peringkat global.

“Satu juta adalah jumlah yang mengerikan dan kita perlu memikirkannya sebelum kita mulai mempertimbangkan satu juta lagi,” kata pengarah kecemasan WHO, Michael Ryan .

“Adakah kita bersedia secara kolektif untuk melakukan apa yang diperlukan bagi mengelakkan jumlah itu?,” kata Ryan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.