Hormat yang banyak kerusi jadi Ketua Menteri

337

28 SEPT: Memandangkan Perikatan Nasional (PN) Plus memenangi 23 kerusi berbanding Barisan Nasional (BN) hanya 14, maka Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah terpaksa menghormati demokrasi parti yang menang banyak kerusi perlu menjadi Ketua Menteri.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sebelum ini pihaknya telah menghantar cadangan nama Ketua Menteri kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin semalam.

“Saya juga ingin memaklumkan, semua ADUN BN meminta pada saya untuk menjadi kerajaan dan mereka tidak sanggup jadi pembangkang.

“Saya Selaku Ketua UMNO Sabah terpaksa menghormati permintaan mereka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Bung Moktar mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang telah bertungkus-lumus dari awal kempen.

Katanya, begitu juga dengan Naib-Naib Presiden serta Setiausaha Agung BN dan UMNO yang menyokong beliau untuk menjadi Ketua Menteri Sabah sehingga saat-saat akhir.

“Tetapi saya terpaksa menerima keputusan ini atas permintaan UMNO Sabah. Saya harap rakan semua tidak menyalahkan Presiden atau mana-mana pihak di atas perkara yang berlaku.

“Saya mengambil tanggung jawab atas apa yang berlaku di Sabah. UMNO Sabah tidak akan ke mana tanpa bantuan Presiden dan rakan-rakan yang lain.

“Marilah kita bersama-sama Fokus PRU-15 yang sudah hampir,” katanya.

Dalam pada itu, Bung Moktar juga merakamkan jutaan terima kasih di atas bantuan dan kerja kuat rakan-rakan dan jentera seluruh Malaysia yang membantu UMNO Sabah sepanjang PRN kali ini.

“Walaupun saya Selaku Ketua UMNO Sabah tidak berapa gembira dengan kemenangan yang BN menangi, tetapi saya redha dan terima ketentuan Allah dengan hanya 14 kerusi saja yang kita menangi disebabkan beberapa faktor yang kita semua fahami,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.