Tumpu segera agenda bela rakyat Sabah – Zahid

164

28 SEPT: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendoakan semoga kerajaan negeri Sabah yang baharu dibentuk dapat segera memberi tumpuan kepada pelbagai agenda untuk membela kepentingan rakyat Sabah.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, ini sebagaimana yang termaktub dalam Akujanji Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurutnya, beliau menghormati keputusan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS yang bersetuju memilih ADUN Sulaman, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor sebagai Ketua Menteri Sabah walaupun berpandangan jawatan itu perlu diserahkan kepada UMNO sebagai parti individu yang memenangi jumlah kerusi terbanyak.

“Saya dimaklumkan oleh Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin setelah rundingan dibuat di kalangan ADUN GRS yang bersepakat mencalonkan Hajiji demi memastikan kepentingan rakyat Sabah dapat segera diperjuangkan setelah diabaikan Kerajaan Warisan sebelum ini.

“Saya hormati keputusan tersebut atas dasar semangat autonomi UMNO Sabah yang telah pun dipersetujui bersama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada sidang media tengah hari ini, Hajiji memaklumkan beliau mendapat sokongan sebulat suara daripada kesemua ADUN GRS untuk memimpin negeri berkenaan.

Bung Moktar yang turut hadir pada sidang media itu menjelaskan keputusan itu dibuat bagi kepentingan negeri Sabah untuk melihat pembelaan kepada rakyat setelah terabai di bawah Warisan.

Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri dijadual berlangsung di Istana Negeri jam 10.30 pagi esok.

Pada PRN Sabah Sabtu lalu, GRS menang 38 kerusi dengan Perikatan Nasional (PN) Plus memperoleh 24 kerusi manakala UMNO memperoleh 14 kerusi selain tiga Bebas yang menyokong GRS. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.