PM letak jawatan sebulan lepas dilantik

191

27 SEPT: Belum pun sempat sebulan berkuasa, Mustapha Adib meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Lubnan semalam setelah gagal membentuk Kabinet dalam usaha membebaskan negara itu daripada krisis ekonomi terburuk sejak beberapa dekad lalu.

Beliau dilantik pada 31 Ogos lalu bagi menggantikan pimpinan terdahulu yang mengundurkan diri selepas insiden letupan besar di Beirut pada 4 Ogos yang mengorbankan lebih 190 orang, selain mencederakan ribuan dan memusnahkan Beirut.

Memetik laporan AFP, Mustapha ditekan untuk membentuk Kabinet baharu secepat mungkin bagi melakukan reformasi yang diperlukan dalam usaha membawa masuk bantuan asing berjumlah berbilion dolar.

“Saya meminta diri daripada meneruskan tugas membentuk kerajaan.

“Saya minta maaf kepada rakyat Lubnan… atas ketidakmampuan saya untuk merealisasikan aspirasi untuk pasukan reformasi,” katanya dalam ucapan yang disiarkan stesen televisyen Lubnan.

Proses pembentukan kerajaan di Lubnan boleh berlanjutan sehingga berbulan-bulan, di mana perlunya perjanjian pembahagian kuasa antara parti politik bertujuan mengekalkan keseimbangan politik antara semua pihak.

Ini bermaksud, secara amalannya semua parti politik utama mesti mempersetujui keputusan besar termasuk penyusunan Kabinet seterusnya sebelum diserahkan untuk persetujuan Parlimen.

Usaha Mustapha untuk membentuk barisan baharu Kabinet disekat secara berkesan oleh parti utama yang mewakili komuniti Syiah di Lubnan iaitu Amal dan Hizbullah.

Kedua-dua pihak menolak untuk berganjak daripada permintaan mengekalkan Kementerian Kewangan di bawah kawalan mereka.

Mustapha adalah bekas duta besar berusia 48 tahun yang kurang dikenali.

Beliau dinamakan beberapa jam sebelum Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengadakan lawatan kedua ke negara itu sejak letupan besar berlaku pada 4 Ogos di Lubnan, bagi mendesak pembentukan kerajaan reformasi.

Macron berkata beliau memperoleh komitmen daripada semua parti politik di Lubnan untuk membantu Mustapha dalam tempoh dua minggu.

Namun, Mustapha gagal meraih sokongan daripada parti berkenaan.

Pengunduran Mustapha menjadikan individu itu perdana menteri atau calon perdana menteri ketiga yang berundur daripada jawatan itu kurang daripada satu tahun.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.