PBB mesti pulih kredibiliti

78

27 SEPT: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kredibiliti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mesti dipulihkan untuk membina masa hadapan lebih baik, jika semua ahli pertubuhan itu mempunyai iltizam politik dan keberanian moral bagi melakukan perkara yang betul.

Perdana Menteri berkata, isu Palestin dan Rohingya adalah antara sebab utama mengapa PBB perlu menjadi lebih kukuh dan berkesan.

Rayuan masyarakat Rohingya di negeri Rakhine adalah antara contoh jelas membuktikan kegagalan PBB.

Muhyiddin berkata, tragedi menimpa etnik itu turut memberi kesan ke atas Malaysia dan negara jiran, apabila lambakan pelarian kaum itu melarikan diri, bagi menyelamatkan diri daripada kekejaman tentera Myanmar.

Menurut beliau, persoalan yang timbul ketika ini ialah apakah peranan boleh dimainkan komuniti antarabangsa dalam menghentikan kekejaman di negeri Rakhine.

“Ribuan etnik Rohingya terpaksa melarikan diri, ramai terkorban apabila merentasi lautan bergelora hanya untuk menyelamatkan diri daripada dizalimi tentera Myanmar, malah ada yang terjebak ke tangan sindiket pemerdagangan manusia, semata-mata mencari kehidupan lebih baik.

“Malaysia ketika ini adalah tuan rumah kepada jumlah terbesar pelarian Rohingya di Asia Tenggara.

“Sebagai negara membangun yang perlu menampung kos pengurusan dan perlindungan kepada hampir 180,000 pelarian berdaftar dan pemohon suaka, dengan 86 peratus adalah dari Myanmar, sumber kami semakin berkurangan, tetapi masih juga kami diharapkan untuk menerima lebih ramai pelarian. Adakah itu adil?” katanya berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu secara maya malam tadi.

Perdana Menteri berkata, Malaysia tetap mengambil tanggungjawab daripada aspek kewangan dan sosial bagi membantu etnik Rohingya yang melarikan diri ke negara ini, walaupun tidak tertakluk kepada Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967.

Sehubungan itu, katanya, sudah tiba masa untuk anggota konvensyen bersama-sama memikul beban dan tanggungjawab dalam menangani masalah berkenaan.

“Sudah masanya mereka membuka pintu untuk menerima pelarian dan menguruskan penempatan semula etnik berkenaan. Lambakan pelarian di sempadan kami hanyalah antara kisah yang ada.

“Ini adalah antara dua bukti jelas, mengapa PBB perlu lebih ampuh, kredibiliti PBB boleh dan perlu dikembalikan, dalam membentuk masa depan yang kita mahukan,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.