Malaysia terus sokong Agenda Pembangunan Lestari

57

27 SEPT: Malaysia akan meneruskan usaha menyokong segala tindakan diambil dalam merealisasikan Agenda Pembangunan Lestari 2030, seiring dengan perancangan pembangunan negara yang sentiasa bergerak ke arah kelestarian alam sekitar dan kehidupan rakyat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, aspek terbabit turut terkandung dalam rancangan pembangunan nasional setiap lima tahun.

Menurut beliau, ia juga adalah sebahagian daripada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, yang disasarkan untuk membangunkan secara adil dan saksama semua pembangunan ekonomi di semua peringkat menjelang 2030.

“Sejak Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac, kami mendapati bacaan kualiti udara meningkat dua kali ganda, dari 28 peratus kepada 57 peratus. Kebimbangan kami adalah ia hanya bersifat sementara kerana pengeluaran karbon global mungkin kembali meningkat, jika kita terus bertindak seperti biasa, khususnya dalam menggerakkan semula ekonomi.

“Pandemik ini seharusnya membawa titik perubahan untuk semua, kerana adalah amat penting bagi seluruh komuniti antarabangsa menghormati keupayaan bumi serta menghargai sumber alam yang ada,” katanya semasa berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) secara maya, malam tadi.

Perdana Menteri berkata, Malaysia turut prihatin dengan kesejahteraan alam sekitar, walaupun pada masa sama, negara ini adalah antara pengeluar terbesar minyak sawit.

“Ramai pekebun kecil bergantung kepada komoditi ini untuk kelangsungan hidup. Walaupun menerima kritikan banyak pihak yang mendakwa ia berbahaya kepada kesihatan dan memusnahkan alam sekitar, ia sama sekali tidak benar.

“Malaysia memiliki lebih 60 undang-undang untuk melindungi alam sekitar, hidupan liar, keselamatan dan kebajikan pekerja serta mengawal pencemaran. Suka dimaklumkan bahawa kami berjaya mengekalkan 55 peratus bilangan hutan hujan, melebihi 5 peratus sebelum ini,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.