GRS mesti tunaikan Aku Janji – Muhyiddin

183

27 SEPT: Kerajaan negeri baharu bakal dibentuk oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mestilah berusaha sedaya upaya untuk menunaikan segala komitmen yang dinyatakan dalam Aku Janji GRS.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT di atas kemenangan GRS dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata kemenangan berkenaan menunjukkan keyakinan rakyat kepada parti dalam GRS yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Bersatu Sabah.

GRS
Aku Janji GRS untuk rakyat Sabah.

“Saya mengucapkan tahniah kepada calon-calon GRS yang menang dalam pilihanraya ini. Inilah masanya untuk anda semua mencurah khidmat bakti yang terbaik kepada rakyat dan membuktikan bahawa kita sebenar-benarnya adalah prihatin kepada rakyat.

“Yang penting GRS yang akan membentuk kerajaan negeri Sabah mestilah berusaha sedaya upaya untuk menunaikan segala komitmen yang dinyatakan dalam Aku Janji GRS,” katanya dalam siaran langsung melalui Facebook tengah malam ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi di negeri Sabah yang telah memilih calon GRS.

“Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya yang tidak terhingga kepada semua petugas dan sukarelawan yang telah membantu berkempen untuk calon-calon GRS dalam pilihanraya ini,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.