Calon KM Sabah ditentukan petang ini?

334

27 SEPT: Pemimpin kanan Perikatan Nasional (PN) termasuk STAR dan Barisan Nasional (BN) mengadakan pertemuan di sebuah hotel di sini, dipercayai berhubung pelantikan calon Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Memetik laporan Bernama, ini berikutan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 semalam menyaksikan PN, BN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan selepas memenangi sejumlah 38 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

PN telah memenangi 17 kerusi, BN (14) dan PBS tujuh kerusi di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Antara pemimpin hadir pada mesyuarat itu termasuk Pengerusi PN Sabah dan Ketua Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Ketua Bersatu Sabah, Datuk Masidi Manjun; Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Bagaimanapun, pemimpin PBS tidak kelihatan di situ setakat jam 12.53 tengah hari tadi.

Warisan Plus gagal mempertahankan terajui pemerintahan kerajaan negeri setelah hanya memperoleh 32 kerusi manakala tiga kerusi menjadi milik calon Bebas.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.