3 kluster baharu, 1 kematian

54

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat 50 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,835 kes (90.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 27 September 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 150 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,919 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 950 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Ingin dimaklumkan daripada 150 kes baharu yang dilaporkan, empat (4) kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara dari negara:

  • Arab Saudi: Tiga (3) kes:
    • Dua (2) dilaporkan diWilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang melibatkan satu (1) warganegara dan satu (1) bukan warganegara; dan
    • Satu (1) di Selangor yang melibatkan warganegara.
  • India: Satu (1) kes dilaporkan diWilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang melibatkan warganegara.

Daripada 146 kes penularan di dalam negara, 124 kes adalah warganegara Malaysia dan 22 kes adalah bukan warganegara. Perincian kes penularan COVID-19 dalam negara adalah seperti berikut:

  • Sabah: 124 kes
    • 58 kes daripada Kluster Benteng LD yang melibatkan 55 kes warganegara dan tiga (3) kes bukan warganegara;
    • 20 kes daripada Kluster Bangau-Bangau yang melibatkan 12 kes warganegara dan lapan (8) kes bukan warganegara;
    • 13 kes daripada Kluster Bakau yang melibatkan empat (4) kes warganegara dan sembilan (9) kes bukan warganegara;
    • 10 kes daripada Kluster Pulau yang melibatkan sembilan (9) kes warganegara dan satu (1) kes bukan warganegara;
    • Lapan (8) kes daripada kluster baharu iaitu, Kluster Kg. Sakong yang kesemuanya melibatkan warganegara;
    • Lapan (8) saringan bergejala yang kesemuanya melibatkan warganegara;
    • Tiga (3) kes daripada kluster baharu iaitu, Kluster Buang Sayang yang kesemuanya melibatkan warganegara;
    • Satu (1) kes saringan komuniti yang melibatkan warganegara.
    • Satu (1) kes Influenza-Like Illness (ILI) yang melibatkan bukan warganegara;
    • Satu (1) kes saringan kontak rapat kepada kes ke-10359 yang melibatkan warganegara; dan
    • Satu (1) saringan sebelum pulang ke Sarawak yang melibatkan warganegara.
  • Selangor: 10 kes
    • Lapan (8) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang kesemuanya melibatkan warganegara.
    • Dua (2) kes saringan kontak rapat, iaitu kepada kes ke-10364 dan kes ke-10579 yang kesemuanya melibatkan warganegara.
  • Pahang: Empat (4) kes
    • Tiga (3) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara; dan
    • Satu (1) kes saringan kontak rapat kepada kes ke-10679 yang melibatkan warganegara.
  • Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur: Tiga (3) kes
    • Dua (2) kes daripada kluster baharu iaitu, Kluster Setapak yang melibatkan warganegara; dan
    • Satu (1) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara.
  • Johor: Dua (2) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara.
  • Sarawak: Dua (2) kes saringan pekerja di Immigration Quarantine Security (IQS) Merapok, Lawas yang melibatkan warganegara.
  • Melaka: Satu (1) kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) yang melibatkan warganegara.

Kluster-kluster baharu akan diperincikan di bawah.

Sehingga kini, terdapat enam (6) kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat (4) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu (1) kes kematian berkaitan COVID-19. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 134 kes (1.23 peratus daripada jumlah keseluruhan kes):

  • Kes kematian ke-134 (iaitu kes ke-10491) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 81 tahun. Kes mula mengalami gejala demam dan batuk berkahak pada 14 September 2020 dan telah dibawa ke Hospital Semporna pada 17 September 2020.  Saringan COVID-19 didapati positif pada 22 September 2020. Pada 26 September 2020 kes telah dipindahkan ke Hospital Tawau, Sabah. Keadaan kes didapati merosot dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari yang sama. Beliau disahkan meninggal dunia pada 27 September 2020 jam 12.52 pagi.

KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau.

TIGA (3) KLUSTER BAHARU DILAPORKAN PADA HARI INI

KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat tiga (3) kluster baharu yang telah dikenal pasti, iaitu dua (2) di Sabah dan satu (1) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Berikut adalah perincian bagi ketiga-tiga kluster tersebut:

1. Kluster Buang Sayang

Kluster ini telah dikenal pasti di Sipitang, Sabah. Kes indeks kluster ini merupakan kes ke-10265. Kes mempunyai sejarah perjalanan ke Sipitang, Sabah dari 7 September 2020 sehingga 20 September 2020. Kes mula mengalami gejala demam, selesema dan sakit tekak pada 19 September dan kemudiannya dimasukkan ke sebuah pusat perubatan. Saringan COVID-19 didapati positif pada 20 September 2020 dan kes telah dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

Susulan itu, pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan. Sehingga 27 September 2020 jam 12 tengah hari, seramai 10 individu telah disaring, di mana:

  • Empat (4) kes dikesan positif COVID-19; dan
  • Enam (6) individu masih menunggu keputusan.

2. Kluster Kg. Sakong

Kluster ini telah dikenal pasti di Semporna, Sabah. Kes indeks kluster ini merupakan kes ke-10154. Kes dikesan positif COVID-19 pada 18 September 2020 melalui saringan komuniti. Kes tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan.

Susulan itu, pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan. Sehingga 27 September 2020 jam 12 tengah hari, seramai 66 individu telah disaring, di mana:

  • Sembilan (9) kes dikesan positif COVID-19; dan
  • 57 individu masih menunggu keputusan.

3.Kluster Setapak

Kluster ini telah dikenal pasti di Setapak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes indeks kluster ini merupakan kes ke-10689. Kes mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau dan Semporna, Sabah dari 17 September 2020 sehingga 20 September 2020. Kes mula mengalami gejala demam, batuk, sakit tekak, sakit otot dan cirit-birit sejak 21 September 2020. Kes dimasukkan ke sebuah pusat perubatan pada 25 September 2020 di mana saringan COVID-19 didapati positif pada hari yang sama. Kes seterusnya dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor. Dua lagi kes positif yang dikesan adalah rakan serumah (iaitu kes ke-10770) dan rakan (iaitu kes ke-10771) kepada kes indeks. Mereka turut dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Susulan itu, pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan. Sehingga 27 September 2020 jam 12 tengah hari, seramai 20 individu telah disaring, di mana:

  • Tiga (3) kes dikesan positif COVID-19;
  • 16 individu dikesan negatif COVID-19; dan
  • Satu (1) individu masih menunggu keputusan.

Langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan seperti proses nyah kuman dan pembersihan sedang dijalankan di semua lokasi yang telah dikenal pasti bagi semua kluster di atas.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan. Jadikanlah nasihat-nasihat ini satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian:

  • Elakkan 3S / 3C : iaitu elakkan kawasan yang sesak (Crowded place), elakkan kawasan yang sempit (Confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (Close conversation).
  • Amalkan 3W : iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (Wash), memakai alat pelitup muka (facemask) di tempat awam yang telah diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mulai 1 Ogos 2020 atau jika bergejala (Wear), dan (Warn) iaitu amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan seperti:
  • Elakkan bersalaman / bersentuhan termasuk melagakan mana-mana bahagian tubuh badan sebagai menggantikan cara kebiasaan bersalam;
    • Amalkan etika batuk dan bersin;
    • Dapatkan rawatan segera jika bergejala;
    • Duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung; 
    • Lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.

Patuhlah kepada S.O.P sebagai normal baharu iaitu:

  • S : Syarat-syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP);
  • O : Orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan;
  • P : Penjarakan fizikal (physical distancing) sekurang-kurangnya 1 meter diamalkan pada setiap masa.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Orang ramai akan sentiasa dimaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya. Begitu juga, KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

27 September 2020

Get real time updates directly on you device, subscribe now.