Tembak depan sekolah, 12 ahli Geng 21 dicekup

249

26 SEPT: Seramai 12 individu dipercayai ahli Geng 21 ditahan polis susulan kejadian ahli perniagaan dan pengawal peribadi ditembak di Jalan Sultan Abdul Samad, Banting tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, semua suspek berusia antara 26 hingga 36 tahun ditahan dalam operasi khas sejak semalam hingga pagi tadi di sekitar Banting, Sungai Emas, Sungai Jarom dan Telok Panglima Garang.

“Kita percaya 12 individu ini adalah sebahagian daripada ahli kongsi gelap Geng 21 dan buat masa ini, polis masih mengesan saki-baki mereka yang dipercayai menjadi ahli kumpulan haram ini.

“Semua tangkapan ditahan reman empat hari sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Azizan berkata, lima kesan tembakan mengenai pengawal peribadi yang diserang dua lelaki bermotosikal di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Datok semalam.

Beliau berkata, kesan tembakan itu ditemui hasil pemeriksaan doktor ke atas mangsa di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang di sini.

“Seorang lagi individu yang juga majikan kepada pengawal peribadi itu pula terkena dua das tembakan masing-masing di bahagian lengan kiri dan rusuk kanan.

“Kedua-dua mangsa juga mempunyai satu anak peluru yang tersangkut di bahagian tulang belakang. Buat masa ini, doktor sedang melakukan pemeriksaan lanjut, sebelum melakukan pembedahan bagi mengeluarkan peluru yang terkena pada badan kedua-dua mangsa,” katanya

Media semalam melaporkan, sekurang-kurangnya tiga pelajar cedera selepas dirempuh sebuah kereta dinaiki dua lelaki yang cedera akibat terkena tembakan dalam kejadian di hadapan SMK Telok Datok.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, dua lelaki berkenaan dipercayai ditembak oleh dua individu yang menaiki sebuah motosikal.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.