Sasaran 70 peratus keluar mengundi boleh dicapai -SPR

80

26 SEPT: Seramai 41 peratus pengundi daripada 1.088 juta pemilih biasa telah keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah setakat jam 12 tengah hari tadi.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, jumlah keluar mengundi itu termasuk sepasang suami isteri yang dalam pengawasan COVID-19 setelah mereka mendapat kebenaran khas mengundi daripada Kementerian Kesihatan.

Katanya, walaupun ada yang melihat jumlah itu agak rendah, namun SPR percaya sasaran 70 hingga 75 peratus keluar mengundi mampu dicapai apabila pusat pengundian ditutup jam 5 petang.

“Dalam pemantauan kita di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), semuanya berjalan lancar walaupun ada di satu dua tempat terdapat rungutan mengenai kesesakan dan sebagainya akibat pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) kesihatan.

“Namun saya percaya semua faham bahawa ini satu keperluan bagi melindungi kita daripada ancaman wabak tersebut, yang penting apa kita lakukan bagi memastikan orang ramai dapat menunaikan tanggungjawab dengan selamat, insya-Allah,” katanya dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu hari ini.

Datuk Abdul Ghani Salleh

Menjawab soalan pemberita sama ada waktu pengundian akan dilanjutkan jika pusat pengundian tertentu masih sesak, Abdul Ghani berkata, perkara itu tidak dapat dilakukan kerana SPR perlu mengikut warta yang telah dikeluarkan.

“Namun saya percaya kita masih ada masa beberapa jam lagi untuk menunaikan hak memilih. Keseluruhannya berjalan lancar.

“Cuma ada satu laporan tadi kejadian kebakaran kecil melibatkan kipas di sebuah sekolah, namun ia telah diatasi,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada petugas KKM dan kerjasama agensi lain yang banyak membantu kelicinan perjalanan PRN Sabah Ke-16 ini yang berlangsung dalam suasana norma baharu.

“Mengenai kesalahan pilihan raya ketika hari pengundian, kita terima dua laporan. Satu barung panas dan kedua pemasangan bendera parti berdekatan pusat pengundian.

“Kedua-duanya kita telah kita atasi,” ujarnya.

Sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai jam 7.30 pagi tadi.

Kerajaan Sabah juga telah mengisytiharkan hari ini sebagai Hari Kelepasan Am Khas bagi memudahkan rakyat Sabah menunaikan hak mengundi masing-masing.

SPR turut menjangkakan keputusan penuh PRN Sabah sebelum jam 10 malam ini bagi mengetahui wakil rakyat bagi 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.