Petunjuk PRN Sarawak makin hampir

192

26 SEPT: Selepas Miri, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) meneruskan siri konvensyen khasnya, kali ini di Betong sekali gus menguatkan lagi petunjuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 semakin hampir.

Perhimpunan itu yang bakal disusuli di Kuching dan Sibu, dihadiri 654 perwakilan daripada 14 cawangan di zon Betong yang mendengar suntikan semangat daripada Presiden, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebagai persiapan menghadapi PRN ke-12.

Secara berkias, Abang Johari menyifatkan konvensyen tersebut sebagai “ulang kaji” sebelum menghadapi “peperiksaan”.

“Selalunya bila ada ‘exam’ (peperiksaan), anak murid mesti bersedia buat ‘revision’ (ulang kaji). Jadi kita hari ini (sedang) melakukan ‘revision’, saya yakin kita akan lulus dengan cemerlang,” kata Ketua Menteri Sarawak itu semasa berucap di konvensyen itu.

PBB akan menghadapi PRN ke-12 dengan gabungan baharu – Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang turut disertai tiga lagi parti iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

PBB bertindak keluar daripada Barisan Nasional selepas Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu. Untuk rekod, penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-11 akan tamat pada Julai 2021.

Sementara itu, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS menggesa perwakilan, amnya rakyat Sarawak, untuk tidak meletakkan nasib negeri itu di tangan pihak lain.

“Biarlah masa depan Sarawak ditentukan oleh orang Sarawak sendiri,” katanya yang disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Selain itu, beliau memberi bayangan ada “habuan” bakal menanti rakyat Sarawak yang akan diumumkan apabila GPS diberi mandat pada PRN ke-12.

“Ada yang lebih (baik) lagi daripada cukai lima peratus yang kita kutip daripada Petronas. Biarlah saya simpan dulu, kelak menang saya umumkan,” katanya yang turut meluahkan keyakinan kerajaan yang dipimpinnya ketika ini mempunyai hala tuju yang jelas untuk memajukan lagi Sarawak.

Konvensyen itu diisi dengan pembentangan beberapa tajuk menarik, antaranya “Perkongsian Strategik: Pembangunan Infrastruktur” oleh Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi diikuti “Projek Utiliti: Bekalan Elektrik dan Bekalan Air Bersih di Luar Bandar” oleh Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Konvensyen Parti PBB dan Pengerusi Jawatankuasa Khas Parti PBB Zon Betong Datuk Amar Douglas Uggah turut hadir.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak dalam proses mengambil alih beberapa kawasan pertanian di Betong yang ketika ini di bawah Tabung Haji Plantation.

“Proses rundingan sedang berlangsung. Sudah memasuki fasa menetapkan harga pembeliannya dan dalam masa terdekat ini akan diambil oleh kerajaan kita (Sarawak),” katanya.

Menurutnya menjadi hasrat kerajaan Sarawak untuk membangunkan kawasan Betong itu sebagai hab pertanian, justeru beberapa inisiatif berimpak tinggi perlu diambil bagi mencipta peluang pekerjaan dan keusahawanan khususnya dalam perniagaan berasaskan pertanian.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.