Pengundian PRN Sabah lancar

111

26 SEPT: Sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 7.30 pagi ini bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16.

Proses pengundian yang melibatkan 1.088 juta daripada 1.103 juta pengundi biasa berlangsung sehingga waktu mengundi tamat pada 5 petang.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata semua pusat mengundi ditutup secara berperingkat berdasarkan jumlah pengundi yang ada di kawasan berkenaan dengan waktu terakhir penutupan jam 5 petang.

“Bagi kawasan yang jauh, ada yang menggunakan helikopter untuk menghantar dan membawa balik kotak undi. Biasanya, kawasan ini ditutup awal, ada yang jam 2 atau jam 3 petang sudah ditutup,” katanya.

Sejajar dengan peningkatan kerusi DUN Sabah kali ini berbanding 60 kerusi sebelum ini, SPR melantik seramai 30,540 petugas bagi mengendalikan proses PRN Sabah ke-16.

SPR menganggarkan antara 70 peratus hingga 75 peratus pengundi akan turun menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada PRN kali ini.

Keputusan parti mana yang dapat membentuk kerajaan negeri dijangka diketahui sekitar jam 10 malam.

Sementara itu, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca pada sebelah pagi di kebanyakan tempat adalah baik kecuali hujan di satu dua tempat di bahagian Pantai Barat, Kudat, pedalaman dan Sandakan.

Bagaimanapun pada sebelah petang, ribut petir diramal di satu dua tempat di bahagian Pantai Barat, pedalaman dan Sandakan pada sebelah petang.

Memandangkan PRN ini diadakan dalam keadaan negara masih berdepan ancaman pandemik COVID-19 terutama di Sabah yang saban hari menyaksikan peningkatan kes positif baharu virus itu, seramai 1,594 petugas kesihatan turut ditempatkan di pusat mengundi di seluruh negeri.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam menggalakan pengundi keluar menunaikan hak mereka tetapi mesti dilakukan dengan mematuhi sepenuhnya SOP ditetapkan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali pula meminta orang ramai agar keluar mengundi tanpa sebarang keraguan dan pihaknya memberi jaminan proses PRN Sabah akan berjalan lancar.

PRN tersebut diadakan selepas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membubarkan DUN Sabah sehari selepas bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mendakwa memperoleh cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.