Pejuang tak terhegeh-hegeh ikut Anwar

139

26 SEPT: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak terhegeh-hegeh menawarkan kerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam komplot untuk mensabotaj dan menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Presiden Penajanya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan, Pejuang juga tidak pernah merestui hasrat Anwar untuk menjadi Perdana Menteri dan menubuhkan kerajaan baharu.

Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata, sehingga kini Pejuang tidak pernah diajak untuk berbincang dengan PKR atau Anwar mengenai usaha tersebut.

“Jadi takkan kita nak terhegeh-hegeh untuk menawarkan kerjasama dengan beliau, saya sendiri pun rasa hairan dengan tindakan Anwar yang menyatakan bilangan Ahli Parlimen yang menyokongnya sudah mencukupi untuk tujuan itu.

“Di pihak kami yang terdiri daripada Pejuang, Warisan, Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman setidak-tidaknya ada 18 orang.

“Mungkin jumlah 18 itu dianggap kecil dan Anwar sendiri menyebut bahawa kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak termasuk dalam jumlah sokongan yang beliau ada,” katanya yang menjadi antara pengasas Pejuang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi ahli panel bagi program memperingati bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak bersama anak Allahyarham, Ahmad Faiq Azizan di sini, malam tadi.

Berikutan itu Mukhriz berkata, Anwar selaku Pengerusi PN perlu mengemukakan bukti kukuh mengenai jumlah sebenar Ahli Parlimen yang sudah menyatakan sokongan kepadanya untuk membentuk sebuah kerajaan baharu seperti mana dakwaannya.

Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, bukti berkenaan mestilah disertakan dengan akuan sokongan dibuat oleh semua Ahli Parlimen yang didakwa bersamanya bagi menubuhkan kerajaan baharu berkenaan.

“Ketika ini tersebar nama Ahli Parlimen UMNO yang dikatakan akan bersama Anwar tetapi seorang demi seorang sudah menafikannya, sekali gus menimbulkan banyak persoalan.

“Ketika ini kita berdepan ancaman COVID-19, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan kini timbul pula desas-desus PRU. Saya rasa semua ini sembang kurang sihat dan apa yang paling penting kini adalah memastikan tidak berlaku huru-hara dalam negara,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.