Lanjut moratorium, MBSB dibuka hujung minggu

1,005

26 SEPT: MBSB Bank Bhd (MBSB) mengadakan Kempen Bantuan Pembayaran Balik Pinjaman (RAC) bagi membantu pelanggan yang memerlukan bantuan kewangan selepas tempoh moratorium selama enam bulan berakhir 30 September ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, pelanggan boleh mengadakan perbincangan secara bersemuka di cawangan terpilih mengenai pilihan bantuan pembayaran yang ada, termasuk fleksibiliti pembayaran dan penjadualan semula serta penstrukturan semula akaun.

“Kami amat menggalakkan pelanggan untuk datang ke cawangan kami dan berbincang dengan wakil bank, kerana kami akui hakikatnya sebahagian daripada mereka masih bimbang dengan keadaan kewangan mereka.

“Dengan membuka cawangan pada dua hujung minggu ini, kami berharap dapat menangani kebimbangan dan isu mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata cawangan bank di Butterworth, Melaka Raya, Johor Bahru, Kuantan dan pusat khidmat pelanggan Menara MBSB di Kuala Lumpur akan beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 5 petang pada 26 – 27 September 2020, dan 3 – 4 Oktober 2020.

Individu dan pelanggan PKS diminta untuk mengunjungi cawangan bank bagi sebarang pertanyaan mengenai pilihan pembiayaan yang sesuai.

Prosedur Operasi Standard (SOP) akan dikuatkuasakan untuk mengurangkan risiko COVID-19.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.