Kebenaran kanak-kanak solat di masjid dirujuk MKN

110

26 SEPT: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan berbincang lebih lanjut bersama Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung kebenaran kanak-kanak untuk menunaikan solat berjemaah di masjid.

Zulkifli berkata, pihaknya akan melihat situasi dan tindakan itu dengan cara berhemah, supaya tiada kejadian menghalang orang sembahyang di dalam masjid.

“Mungkin kita boleh nasihatkan mereka untuk bersembahyang di tempat yang lebih sesuai kerana konsep agama Islam ialah sentiasa ingin memberi rasa ketenangan kepada semua orang.

“Jadi apa-apa tindakan yang kita akan ambil perlu berhikmah dan berhemah. Saya akan berbincang dengan lebih tertib lagi mengenai perkara ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Projek Bakul Rezeki Khaira Pusat Pungutan Zakat (PPZ), dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PPZ Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Ahmad Shukri Yusoff.

Pada majlis itu, seramai 650 penduduk di empat Projek Perumahan Rakyat menerima manfaat sumbangan berupa barangan kering bernilai keseluruhan RM65,000.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, sebanyak RM350 juta bantuan keseluruhan sudah diberikan sejak COVID-19 melanda negara dalam usaha mengurangkan beban golongan memerlukan.

“Saya sentiasa menggerakkan agensi-agensi agama untuk terus proaktif membantu mereka yang memerlukan kerana golongan yang boleh dikelaskan sebagai miskin mengejut ini semakin bertambah berikutan hilang punca pendapatan.

“Malah dijangkakan peningkatan golongan asnaf juga berlaku, di mana ketika ini dianggarkan seramai 20,000 keluarga asnaf di Wilayah Persekutuan menerima bantuan secara bulanan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.