111 dikompaun, 4 direman ingkar PKPP semalam

42

26 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 115 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 111 individu telah dikompaun manakala empat direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk penjarakan fizikal (35), keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKPD (31), dokumen perjalanan tamat tempoh (26), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (17), premis beroperasi tanpa kebenaran (5) dan tidak memakai pelitup muka (1),” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Menutut Ismail Sabri, sebanyak 2,846 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 12,356 anggota telah membuat pemantauan di 3,458 pasar raya, 4,302 restoran serta 1,358 penjaja, 1,065 kilang, 3,459 bank dan 630 pejabat kerajaan semalam.

“Juga dipantau, sebanyak 1,196 terminal pengangkutan darat, 186 terminal pengangkutan air serta 149 terminal pengangkutan udara,”

Sementara itu, menurut beliau, pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 1,116 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,094 premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan manakala 22 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.

“Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” ujarnya.

Katanya, penguat kuasa KPDNHEP juga telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 677 premis perniagaan termasuk peruncit (505), pemborong (146) dan pengilang (26).

“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi,” katanya.

Tambah beliau, Operasi Benteng telah berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 67 PATI.

Katanya, turut berjaya dirampas dua bot dan lima kenderaan darat.

“Sebanyak 98 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam yang melibatkan PDRM (76 SJR), AKSEM (10 SJR), dan ATM (12 SJR).

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.