Turun harga barang ringan beban rakyat

64

25 SEPT: Pengurangan harga barang keperluan harian dan cukai pendapatan individu merupakan antara langkah jangka panjang yang mampu meringankan beban rakyat ketika ini.

Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azali Mohamed berkata, kerajaan boleh berbincang dengan pemilik pasar raya besar bagi menurunkan harga barang basah untuk membantu meringankan beban rakyat.

Menurut beliau, sekiranya harga barangan seperti ayam, bawang, sayur-sayuran dalam dikurangkan sebanyak 20 peratus sedikit sebanyak dapat menjimatkan wang rakyat.

“Kerajaan boleh berbincang dengan syarikat pasar raya besar mengenai perkara ini seterusnya mendapatkan kerjasama mereka untuk menurunkan harga barang.

“Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 bermanfaat serta sesuai dengan keadaan negara sekarang terutama kepada kumpulan sasaran yang terkesan akibat COVID-19, namun bersifat sementara, justeru langkah lebih panjang perlu dijalankan,” katanya.

Azali mengulas mengenai inisiatif dan bantuan khusus di bawah pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin berjumlah RM10 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Sambil menyatakan rakyat memerlukan inisiatif seumpama itu, Azali menegaskan, kini adalah masa yang tepat untuk membantu mengurangkan beban rakyat terutama apabila berdepan dengan kesan wabak COVID-19.

Beliau menambah, penurunan cukai pendapatan individu sebanyak dua hingga tiga peratus pula akan menggalakkan aliran tunai seterusnya merancakkan ekonomi domestik.

“Penurunan ini bukan untuk setahun, tetapi mungkin boleh dimulakan dengan percukaian untuk tempoh Jun hingga Disember tahun ini.

“Pendapatan negara akan sedikit berkurangan, tetapi langkah ini akan membolehkan rakyat mempunyai duit lebih untuk berbelanja dan cara ini juga mampu menaikkan ekonomi tempatan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.