Selamat mengundi, PM doakan keselamatan semua

102

25 SEPT: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan selamat mengundi kepada seluruh rakyat Sabah yang akan menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan negeri yang baru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

Menurut Perdana Menteri, beliau juga mendoakan kepada semua pengundi serta mereka yang terlibat dalam pilihan raya ini diberikan kesihatan dan dilindungi, khususnya daripada wabak COVID-19.

“Perjalanan untuk menguruskan pandemik COVID-19 dan pemulihan ekonomi masih jauh. Saya adalah pengurus di dalam negara ini.

“Saya hanya menguruskan kehidupan rakyat dan bertanggungjawab memastikan ekonomi rakyat dan negara tidak terjejas teruk,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau hari ini.

Tambah Muhyiddin, sempena hari terakhir kempen PRN Sabah hari ini, beliau berkesempatan hadir ke Majlis Rapat Umum dan Semarak Perikatan Nasional (PN) di Tambunan di sebelah pagi dan Majlis Ramah Mesra bersama masyarakat di Tamparuli di sebelah petang.

“Alhamdulillah, saya dapat saksikan momentum sokongan rakyat kepada calon yang bergabung di bawah Gabungan Rakyat Sabah terus meningkat, manakala bendera biru PN berkibar megah di seluruh negeri Sabah.

“Ini satu petanda baik dan perkembangan yang sangat positif kepada PN menjelang hari pengundian, esok,” jelasnya.

Ujar Perdana Menteri, di kesempatan itu beliau menjelaskan bahawa walaupun belum berusia setahun, PN merupakan sebuah kerajaan yang berfungsi atau a functional government dan prihatin yang telah melakukan sehabis baik dalam menjaga kebajikan rakyat ketika berdepan situasi sukar ekoran penularan COVID-19.

“Kerajaan PN di bawah pimpinan saya akan terus berusaha mengurus dan menghidupkan semula ekonomi negara serta menyelesaikan isu COVID-19 selain menjaga keselamatan dan kesejahteraan.

“Kerajaan PN juga komited mengukuhkan kesatuan dan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama, baik di Semenanjung, Sabah ataupun Sarawak,” katanya.

Sementara itu, kata Muhyiddin, peluang itu juga digunakan beliau bagi meredakan kegusaran rakyat berhubung kedudukannya selaku Perdana Menteri berikutan kenyataan yang dibuat seorang pemimpin parti politik, kelmarin.

“Saya memandang serius kenyataan pemimpin tersebut kerana selain melibatkan kedudukan saya selaku Perdana Menteri, ia juga membabitkan soal negara dan Perlembagaan.

“Saya berpegang kepada Perlembagaan Negara dan pastinya akan menangani isu itu mengikut pernyataan atau apa yang terkandung atau tertulis di dalam Perlembagaan tersebut.

“Sehingga hari ini saya tidak pasti apakah kenyataan itu betul atau tidak atau sekadar pernyataan politik. Ini setelah beberapa wakil rakyat yang dikaitkan dengan ‘peralihan’ sokongan kepada pemimpin tersebut telah tampil menafikan mereka terlibat sejurus perkara itu tersebar,” tegasnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.