PKP bersasar Rumah Pangsa Tongkang Yard

151

25 SEPT: Satu lokasi di Kota Setar, Kedah iaitu Rumah Pangsa Tongkang Yard (Seberang Perak) dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Secara Bersasar (PKPSB) sehingga 7 Oktober ini berikutan risiko tinggi penularan COVID-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu terpaksa diambil walaupun Perintahan Kawalan Pergerakan Secara Pentadbiran (PKPSP) di Kota Setar secara keseluruhannya berakhir hari ini.

Menurut beliau, seramai 94 orang penduduk di lokasi tersebut telah disaring dan sembilan daripada mereka telah didapati positif COVID-19 yang melibatkan lima buah rumah.

ismail sabri
ISMAIL SABRI YAAKOB

“Mengambil kira penilaian risiko terhadap penularan wabak ini, kerajaan bersetuju bahawa PKPSP di Kota Setar ditamatkan pada 25 September 2020, namun melanjutkan PKPSB di Rumah Pangsa Tongkang Yard (Seberang Perak) sehingga 7 Oktober 2020.

“Pelanjutan tempoh ini diperlukan bagi tujuan membolehkan saringan kedua dilakukan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri menambah, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Korok Lama juga akan ditutup bermula esok sehingga 9 Oktober ini.

Beliau memberitahu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angakatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat kawalan pergerakan di lokasi tersebut bagi memastikan semua penduduk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan Perintah Kuarantin di Rumah.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PDRM telah menahan 78 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Beliau menjelaskan, daripada jumlah itu, seramai 74 individu telah dikompaun manakala orang direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (23), keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKPD (18), aktiviti dalam pub dan kelab malam (12), gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri (11), premis beroperasi tanpa kebenaran (8), penjarakan fizikal (3), serta tangkapan pendatang asing tanpa izin (3),” katanya.

Selain itu, Operasi Benteng semalam telah berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 42 pendatang asing tanpa izin (PATI), dua tekong dan dua penyeludup. serta merampas sembilan kenderaan darat. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.