PAS minta UMNO jelaskan sokongan terhadap PM

481

25 SEPT: PAS mahu mendapatkan penjelasan daripada UMNO berhubung dakwaan berlakunya perubahan sokongan Ahli-Ahli Parlimen UMNO terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS berpandangan, jika benar keadaan ini, ia bermakna UMNO telah tidak mematuhi persefahaman dan persetujuan yang termaktub dalam Piagam Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai pada 14 September 2019.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu berkata, Piagam Muafakat Nasional dizahirkan berteraskan matlamat untuk menyatupadukan umat Islam dalam negara, sekali gus berusaha mengalahkan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

takiyuddin hassan
TAKIYUDDIN HASSAN

“Justeru sekiranya peralihan ini benar, ia boleh dianggap sebagai suatu gerakan yang bertujuan menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terbina di atas permuafakatan BN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain di atas kejatuhan kerajaan PH.

“Sehubungan itu PAS berharap untuk mendapat penjelasan yang sejelas-jelasnya daripada UMNO atas dasar rakan muafakat dalam MN, seterusnya mengajak UMNO untuk kembali menghayati hasrat dan iltizam yang telah disepakati secara bersama ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, sebentar tadi.

Semalam, sebuah portal mendakwa seramai 19 Ahli Parlimen BN menyokong komplot yang dirancang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan PN.

Terdahulu, Anwar dalam sidang media Rabu lalu mendakwa mendapat sokongan yang “kukuh dan meyakinkan” daripada Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.