MP Gerik kata sokong Anwar sokong DAP

691

25 SEPT: Sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim bermakna sokong DAP, tegas Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman.

Justeru kata wakil rakyat UMNO itu, dakwaan mengaitkan beliau menyokong komplot Anwar menubuhkan kerajaan adalah satu pembohongan pengikut Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Malah kata Hasbullah, beliau dalam hal ini tidak tahu menahu langsung mengenai pengumuman Anwar Rabu lalu selain tidak pernah dihubungi mana-mana pihak.

“Tidak betul. Saya tidak sama sekali menyokong Anwar. Jika menyokong beliau bermakna menyokong DAP. Mereka bercakap bohong .

“Isu ini saya tak tahu langsung. Saya tidak dihubungi oleh mana-mana pihak. Pembohongan dari pengikut Anwar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, sebuah portal berita menyenaraikan nama beberapa Ahli Parlimen UMNO yang didakwa akan menyokong Anwar yang berkomplot menubuhkan kerajaan baru.

Namun demikian, dakwaan portal tersebut telah dinafikan wakil rakyat terbabit yang dengan tegas menyifatkan laporan itu satu pembohongan.

Isu ini bermula apabila Anwar mengadakan sidang media khas mengumumkan mempunyai sokongan majoriti bagi menubuhkan kerajaan.

Bagaimanapun banyak persoalan berlegar dengan pengumuman tersebut kerana Anwar gagal menyertakan bukti konkrit sekali gus menjadi bahan gurauan ramai netizen. –Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.