MB Terengganu pula diarahkan kuarantin

83

25 SEPT: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari kerana mempunyai kontak dengan dua individu yang disahkan positif COVID-19.

Setiausaha Politiknya, Muhyidin Abdul Rashid berkata, kuarantin wajib itu adalah seperti yang diarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu yang turut berusaha mengenal pasti, menghubungi dan menjalankan ujian COVID-19 terhadap semua yang berkait dengan kontak berkenaan.

“Untuk makluman, Menteri Besar juga telah menjalani ujian Reverse-Transcription Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) COVID-19 dan disahkan negatif, namun perlu menjalani satu lagi ujian pada hari ke-13 nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya semua program dan aktiviti melibatkan Ahmad Samsuri terpaksa ditangguhkan sehingga beliau selesai menjalani kuarantin wajib itu.

“Walaupun begitu, Menteri Besar akan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 30 Sept ini secara video dalam talian,” katanya.

Empat hari lalu, Dr Samsuri turut membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah antaranya di Papar seperti mana dalam hantaran di Facebook beliau.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.