Anwar cakap saja, tidak tunjuk pun bukti sokongan

144

25 SEPT: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Presiden PKR juga gagal mengemukakan sebarang akuan bersumpah (SD) menunjukkan jumlah sebenar Ahli Parlimen yang menyokongnya menjadi Perdana Menteri.

“Dia (Anwar) buat kenyataan dan apabila kita tanya siapa yang sokong dia dan siapa yang telah memberikan SD untuk menyokong dia, dia tidak menjawab, dia kata tunggu lagi.

“Tetapi setakat hari ini saya sendiri pun tidak tahu, kenyataan itu mungkin betul mungkin tidak,” katanya semasa berucap pada majlis rapat umum dan semarak Perikatan Nasional (PN) di Tambunan hari ini.

Anwar dalam sidang media Rabu lalu mendakwa mendapat sokongan yang “kukuh dan meyakinkan” daripada Ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kesemua Ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga telah menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinannya dan menafikan memberi sokongan kepada Anwar.

Malah, menurutnya beberapa Ahli Parlimen daripada UMNO yang dikatakan menyokong Anwar juga telah menafikan penglibatan mereka.

“Dalam beberapa hari selepas pengumuman (Anwar) itu banyak kenyataan daripada Ahli Parlimen UMNO yang menafikan. Mereka tidak masuk dalam senarai itu.

“Dengan jawapan yang menafikan itu, saya menjadi lebih ragu-ragu lagi adakah ia betul atau hanya kenyataan politik,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau juga telah merujuk perkara itu kepada Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan dimaklumkan yang beliau masih lagi Perdana Menteri.

“Mungkin apabila Yang di-Pertuan Agong sudah ditunjukkan bukti (sokongan) kalau ada, maka tentu Agong titah supaya saya menghadap Seri Paduka Baginda tetapi sampai sekarang saya tidak dipanggil (Istana),” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan dakwaan Anwar itu hanyalah sandiwara politik dan Presiden PKR berkenaan hanya mengalami ‘mimpi September’ untuk menjadi Perdana Menteri.

“Dakwaan itu tidak datang dengan bukti, dengan jumlah kerusi, malah setakat ini semua nama pemimpin kita yang didakwa ada dalam senarai menyokong Anwar sudah menafikan perkara itu,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.