Zahid tak kata UMNO, BN sokong Anwar

2,099

24 SEPT: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak sesekali mengatakan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan dan ketetapan kepimpinan tertinggi parti dalam Majlis Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Ahmad Zahid sendiri jelaskan menyatakan penolakan terhadap DAP dan Anwar.

Selain itu, jelas beliau, sebarang keputusan Ahli-ahli Parlimen UMNO hendaklah dibuat secara en-bloc dan sepakat secara kolektif.

Asyraf Wajdi
ASYRAF WAJDI DUSUKI

“Perkasa dan perkukuh kerjasama Muafakat Nasional. Sokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), namun tidak sertai sebagai salah satu parti komponen jika PN didaftarkan sebagai parti,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menyatakan, UMNO dan BN tidak menghalang Ahli Parlimennya untuk mengambil keputusan menyokong Anwar yang berhasrat untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau untuk menukar kerajaan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mengeluarkan kenyataan tersebut selepas Anwar mendakwa kononnya mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen bagi membolehkannya membentuk kerajaan.

Walau bagaimanapun, Anwar enggan mendedahkan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya ketika ditanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, semalam. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.