Subsidi Upah 2.0 bantu pekilang harungi cabaran

66

24 SEPT: Sektor perindustrian di negara ini boleh menarik nafas lega kerana lanjutan Program Subsidi Upah selama tiga bulan sehingga Disember 2020 menyediakan sokongan yang amat diperlukan para penggiatnya dalam usaha mengekalkan perniagaan dan melindungi pekerjaan.

Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, sektor perniagaan perlu terus menghadapi cabaran pemulihan pada separuh kedua 2020, terutamanya dari segi penjualan domestik dan eksport yang dijangkakan lebih rendah.

Menurut beliau, memandangkan kesan COVID-19 telah menjejaskan perniagaan, FMM mengakui pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi yang diperkenalkan serta dilaksanakan dengan segera oleh kerajaan telah membantu dalam proses awal pemulihan perniagaan.

“Walau bagaimanapun, perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), masih amat kekurangan dana. Justeru, bantuan seterusnya untuk menyokong mereka membiayai kos operasi, termasuk kos bahan mentah dan tenaga kerja adalah dialu-alukan.

“FMM merayu supaya kerajaan dan institusi kewangan terus memberikan sokongan moratorium kepada industri dalam tempoh mencabar ini untuk tiga bulan lagi sehingga Disember 2020, yang bertujuan memberi kelegaan kepada perniagaan dalam proses pemulihan,” katanya.

Rangsangan melalui Program Subsidi Upah juga membantu perniagaan, terutamanya PKS khususnya perniagaan mikro, untuk mengatasi beberapa cabaran termasuk kekangan aliran tunai dan tangungan kos modal tetap.

Di bawah pakej Kerangka Inisiatif Tambahan PRIHATIN (KITA PRIHATIN) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, kerajaan memperluaskan Program Subsidi Upah 2.0 dengan peruntukan tambahan RM2.4 bilion yang diharapkan dapat memberi manfaat kepada 1.3 juta pekerja.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.