Penutupan sekolah di timur Sabah ditentukan Selasa

161

24 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan penilaian risiko di empat daerah di Pantai Timur Sabah, sebelum memutuskan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) perlu dilaksanakan di sana atau tidak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, Sabtu ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, penilaian itu perlu dibuat berikutan kewujudan kluster baharu di dalam komuniti di Lahad Datu, Tawau, Semporna dan Kunak.

“Ya, sebab itu kita datang untuk membuat penilaian risiko sama ada perlu membuat PKPD di sini yang akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

“Setakat ini, saranan kita mencukupi dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan sebelum ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Lahad Datu, Tawau, Semporna dan Kunak dikategorikan sebagai zon merah berikutan jumlah kes aktif yang melebihi 40 kes di keempat-empat daerah itu.

Mengenai keperluan penutupan sekolah di empat daerah itu, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri Khas Mengenai Covid-19 yang diadakan di Putrajaya, setiap Selasa.

“Cadangan akan kita ketengahkan supaya kebimbangan ibu bapa dapat diatasi dengan mencari jalan penyelesaian sama ada kita perlu tutup sepenuhnya atau sebahagian sahaja selain menjalankan kerja nyah cemar di sekolah terbabit,” katanya.

Menyentuh mengenai calon parti yang mempunyai kontak rapat dengan individu disahkan positif Covid-19, Adham berkata, mereka akan dihubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing.

Katanya, sekiranya nama mereka disenaraikan dan perlu menjalani perintah kuarantin di rumah (home quarantine) selain perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) serta perlu diambil ujian calitan.

“Sama ada keputusan negatif atau positif, mereka dimaklumkan kemudian namun wajib menjalani kuarantin selama 14 hari.

“Dalam tempoh itu juga, mana-mana individu termasuk calon bertanding boleh memohon kepada PKD dengan mengisi borang khas yang disediakan sebelum dibenarkan untuk keluar mengundi pada hari pengundian,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.