Malaysia catat pelaburan RM64 bilion

52

24 SEPT: Malaysia mencatatkan pelaburan bernilai RM64.8 bilion dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama untuk enam bulan pertama 2020 walaupun berdepan pelbagai cabaran ekonomi dunia.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, pelaburan itu melibatkan 1,725 projek dan akan mewujudkan 37,110 peluang pekerjaan.

”Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang sebanyak 69.8 peratus atau RM45.3 bilion, sementara pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak RM19.5 bilion,” kata MIDA dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut MIDA, penyumbang terbesar FDI untuk sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama dalam tempoh tersebut ialah Singapura (RM4.9 bilion), Switzerland (RM2.8 bilion), China (RM2.2 bilion), Amerika Syarikat (RM2.2 bilion) dan Thailand (RM1.8 bilion).

MIDA menambah, untuk projek yang diluluskan mengikut negeri, lima negeri utama iaitu Sabah, Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor menyumbang RM47.1 bilion (72.6 peratus) kepada jumlah pelaburan yang diluluskan untuk Januari hingga Jun 2020.

Jelasnya, sektor perkilangan menarik sebahagian besar pelaburan yang diluluskan untuk separuh pertama 2020 dengan menyumbang lebih separuh (55.1 peratus) atau RM35.7 bilion, diikuti sektor perkhidmatan dengan pelaburan sebanyak 44.2 peratus atau RM28.6 bilion, dan sektor utama dengan pelaburan yang diluluskan berjumlah 0.7 peratus atau RM0.5 bilion.

“Kerajaan, melalui MIDA, telah menerajui usaha untuk menarik pelaburan lestari, daripada sumber domestik dan asing, yang akan memperkuatkan lagi ekosistem perniagaan di Malaysia,” ujar MIDA.

Selain itu, MIDA berkata, dari Januari hingga Jun 2020, sebanyak 1,316 projek dalam sektor perkhidmatan telah diluluskan dengan pelaburan bernilai RM28.6 bilion.

Pada Januari hingga Jun 2020, sektor utama menarik pelaburan bernilai RM471.0 juta, merangkumi tiga subsektor utama iaitu perlombongan, pertanian serta perladangan dan komoditi.

MIDA berkata, sehingga Julai 2020, sejumlah 732 projek dengan cadangan pelaburan sebanyak RM35.9 bilion sedang dalam perancangan untuk sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.