Kerajaan PN bantu semua rakyat, bukan penjajah

122

24 SEPT: Rakyat perlu bersatu dan bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam perjuangan memelihara masa depan negara yang lebih baik untuk semua.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau bukan seorang perdana menteri yang luar biasa tetapi mendepani cabaran luar biasa dalam menangani pandemik Covid-19 dan impak wabak itu terhadap ekonomi negara.

Justeru, kerajaan PN perlu membuat keputusan dan tindakan luar biasa dalam membela nasib rakyat yang terjejas akibat impak wabak tersebut, katanya.

“Saya juga sedar kalau tak buat keputusan luar biasa, nasib rakyat akan terjejas,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Masyarakat Taman Mawar Sandakan hari ini.

Untuk rekod, Malaysia kini dikenali sebagai antara negara yang paling berjaya di dunia dalam mengurus ancaman pandemik Covid-19 serta usaha kerajaan memperkenalkan pelbagai program menjana ekonomi negara berjumlah hampir RM300 bilion dalam membantu rakyat yang terkesan dengan impak pandemik itu.

Perdana Menteri juga meyakinkan rakyat di Sabah bahawa kerajaan PN bukan kerajaan ‘penjajah’, sebaliknya adalah kerajaan yang membantu rakyat keseluruhan.

Katanya, biarpun terdapat parti Semenanjung dalam PN dan rakan sekutu seperti Barisan Nasional (BN), tetapi parti berkenaan mempunyai tujuan sama dengan rakan sekutu tempatan seperti Parti Bersatu Sabah (PBS) iaitu untuk memelihara masa depan rakyat dan generasi akan datang.

“Kerajaan PN prihatin dengan masalah rakyat jelata. Kerajaan ini sentiasa mengambil kira kepentingan rakyat.

“Kita mahu memperkukuhkan aspek keselamatan Sabah supaya tiada ancaman kepada kedaulatan Sabah…pembangunan juga kita (kerajaan PN) akan perkukuhkan,” katanya.

Sementara itu di Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Kampung Sim-Sim, Muhyiddin menafikan kerajaan menarik balik peruntukan untuk membaik pulih 24 jambatan di perkampungan atas air itu selepas mengambil alih kerajaan pusat daripada Pakatan Harapan (PH).

Muhyiddin berkata, dakwaan pembangkang itu adalah tidak benar, malah beliau menunjukkan surat kelulusan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri membuktikan peruntukan akan disalurkan kepada Majlis Perbandaran Sandakan untuk tindakan sewajarnya.

“Saya tak suruh peruntukan itu ditarik balik (sejak PN ambil alih kerajaan). Semakan dibuat di ICU dan ada peruntukan RM4.2 juta diluluskan,” katanya.

Di majlis itu, Muhyiddin turut menyerahkan surat berkenaan yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah ICU Datuk Nor Azri Zulfakar kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Sandakan Shaiful Bahari Muin.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.