Jangan bazir undi pilih Warisan – PM

203

24 SEPT: Dengan kempen berbaki kira-kira 24 jam sahaja, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak lebih sejuta pengundi di negeri ini memberi sepenuh kepercayaan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Sabtu ini untuk menerajui kepimpinan kerajaan negeri.

Dalam ceramahnya di Kota Kinabalu malam ini, Perdana Menteri berkata, GRS yang terdiri daripada gabungan pelbagai parti menawarkan satu kemampuan yang jauh lebih besar daripada Warisan Plus untuk membawa masa depan Sabah yang lebih baik.

Di hadapan rakyat pada Program Ceramah Perdana GRS Bersama Perdana Menteri di Petagas, Muhyiddin membentangkan satu persatu penyelesaian isu utama di Sabah antaranya dari soal keselamatan sempadan, pendatang asing tanpa izin (PATI), pembangunan infrastruktur merangkumi jalur lebar dan menurunkan kos sara hidup khusus untuk Sabah dan Sarawak.

“Saya yakin rakyat Sabah akan menerima dasar-dasar yang telah diperkenalkan dan akan dilaksanakan supaya negeri Sabah terus membangun dan maju bersama kerajaan GRS.

“Ada orang di sana (Warisan) kata saya ni penjajah. Siapa jajah sesiapa?. Bila menang nanti yang jadi Ketua Menteri, yang jadi Menteri, orang Sabah juga. Saya tak boleh,” katanya.

Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor

Program ceramah itu turut dihadiri pemimpin-pemimpin utama parti-parti yang membentuk GRS.

Turut hadir, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffery Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup.

Selain itu, yang turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Naib Presiden Pas Idris Ahmad; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim; Pengerusi PN Sabah, Datuk Hajiji Noor dan calon PN Petagas, Datuk Seri Dr Arsit Sedi.

Tambah Perdana Menteri, isu ekonomi di Sabah yang sebelum wabak COVID-19 melanda pun telah menguncup menunjukkan ini satu permasalahan besar yang perlu diuruskan dengan cekap dan bijaksana.

Katanya, apabila berhadapan cabaran yang sangat besar seperti sekarang ini maka rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan sangat prihatin kepada mereka.

“Sebab itu, penting untuk kerajaan negeri dan Persekutuan seiringan kerana isu untuk bangunkan semula ekonomi Sabah memerlukan gandingan mantap di setiap peringkat.

“Bukan saya nak kata sahabat saya, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak buat apa-apa. Ada buat walau dia pun lebih banyak umum dan umum. Ternyata itu tidak cukup.

“Maka apa kita perlu buat Sabtu ini, kita kena ‘buang’ Warisan’. Kita pilih kerajaan GRS. Jangan bazirkan undi kepada orang tidak boleh bekerjasama dengan kita,” jelasnya.

Muhyiddin dalam ceramah itu juga menjamin kepada rakyat Sabah yang Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memastikan penguatkuasaan ke atas PATI yang merupakan antara isu utama ketika kempen PRN Sabah kali ini.

“Kita tidak boleh benarkan sesiapa pun menceroboh Sabah atau di mana sahaja di Malaysia untuk atas apa jua sebab. Ini memang tanggungjawab kerajaan.

“Mereka datang tanpa kebenaran, kita tidak akan izinkan. Sampai menjejaskan rakyat kita pula. Justeru, kita kena tangkap dan hantar mereka pulang,” jelasnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.