Hanya PM layak menghadap Agong, bukan Anwar

487

24 SEPT: Hanya Perdana Menteri sahaja yang layak menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan kedudukan semasa sama ada beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti di Parlimen atau sebaliknya.

Pakar Perlembagaan, Prof Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, Seri Paduka tidak berperanan dalam menentukan siapa yang memiliki atau hilang kepercayaan majoriti dalam keadaan tiada kekosongan jawatan Perdana Menteri.

“Sekiranya berlaku kekosongan jawatan Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk menentukan siapa ahli Parlimen yang mempunyai kepercayaan majoriti dalam dewan.

“Kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong mengenai kehilangan majoriti atau jatuhnya kerajaan telah mengelirukan orang ramai dalam konteks peranan Agong berkaitan kehilangan kepercayaan majoriti ahli Parlimen terhadap Perdana Menteri. Orang ramai jangan keliru kerana Anwar bukan Perdana Menteri.

“Kalau dulu, Tun Dr Mahathir Mohamad ialah Perdana Menteri, sebab itu Agong perkenan untuk Tun Mahathir menghadap Seri Paduka. Kalau tidak, semua orang boleh cakap dia ada majoriti dan mahu menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk jadi Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shamrahayu Ab Aziz
SHAMRAHAYU AB AZIZ

Semalam, Anwar mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen yang mencukupi bagi membentuk gabungan kerajaan baharu.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menyatakan dengan jelas jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya dalam sidang media di Kuala Lumpur.

Shamrahayu menambah, Anwar perlu menggunakan saluran demokrasi iaitu Dewan Rakyat melalui usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin bagi membuktikan Ahli Parlimen Pagoh itu telah hilang kepercayaan majoriti.

“Mengikut Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, katanya, jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana menteri hendaklah meletak jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya, Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong, ” katanya.

Selain itu, beliau menambah,Ahli-ahli Parlimen yang didakwa memberi sokongan kepada Anwar harus tampil bagi menyatakan pendirian bagi membuktikan Muhyiddin hilang kepercayaan majoriti.

Shamrahayu berkata, selepas Muhyiddin memberi sembah maklum menyatakan beliau hilang majoriti, barulah kuasa dan peranan Seri Paduka bermula untuk menentukan siapa yang ada majoriti.

“Kalau ada akaun bersumpah (SD) pun tidak boleh bawa kepada Seri Paduka kerana jawatan Perdana Menteri itu tidak kosong.

“Maknanya Anwar tidak perlu persembahkan kepada Agong. Apa yang perlu Anwar buat, beritahu kepada Muhyiddin tentang keadaan kepercayaan kepada beliau sebagai Perdana Menteri.

“Kemudian, barulah Muhyiddin boleh menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk letak jawatan atau meminta untuk dibubarkan dewan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.