Dua pulang dari Semporna antara 71 kes baru COVID-19

209

24 SEPT: Dua individu bergejala di Selangor yang mempunyai sejarah pulang dari Semporna, Sabah antara 71 kes baru COVID-19 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keseluruhannya daripada 69 kes tempatan COVID-19 yang dilaporkan, 63 kes adalah di Sabah dan diikuti Kedah dengan empat kes.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, kluster Bangau-Bangau di Semporna mencatatkan 47 kes diikuti Kluster Laut, 10 kes, dua kes saringan kemasukan ke hospital dan satu kes daripada Kluster Benteng LD.

Katanya, masing-masing satu kes melibatkan saringan prosedur perubatan di Hospital Tawau dan Hospital Semporna manakala satu lagi kes saringan bergejala di pusat perubatan yang melibatkan warganegara dengan kes tersebut telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

“Di Kedah, keempat-empat kes baru melibatkan kluster Sungai manakala dua lagi kes tempatan adalah di Selangor melibatkan individu yang mempunyai sejarah kepulangan dari Semporna.

“Selain itu, hari ini juga dilaporkan dua kes import melibatkan penularan dari Indonesia dan Singapura,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Menurut Noor Hisham, sehingga kini, terdapat enam kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini dan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 133 kes.

“Dengan 64 kes dilaporkan sembuh hai ini, kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 di negara ini ialah sebanyak 777 kes,” jelasnya.

Sementara itu, menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu ini, beliau merayu kepada semua pihak tanpa mengira status dalam masyarakat supaya mematuhi SOP aktiviti kempen dan hari pengundian yang dibangunkan pihak berkuasa.

Pada masa sama, Noor Hisham mengingatkan indvidu bergejala yang baru pulang dari zon merah supaya menjalani ujian COVID-19 dengan segera.

“Individu tidak bergejala yang baru mengunjungi atau datang dari zon merah juga amat digalakkan untuk melakukan ujian saringan dan kuarantin kendiri bagi melindungi ahli keluarga, rakan-rakan serta masyarakat di sekitarnya,” katanya.

Menurut beliau, walaupun kebanyakan kawasan di negara kini sudah bertukar menjadi zon hijau, namun KKM ingin mengingatkan bahawa kes COVID-19 masih berada di dalam komuniti.

“Pembahagian warna zon hijau, kuning, dan merah adalah berdasarkan bilangan kes setempat dalam masa 14 hari kebelakang. Sehingga 24 September 2020, terdapat lima kawasan di Malaysia yang sudah bertukar menjadi zon merah.

“Terdapat empat (4) zon merah di Sabah dan satu (1) zon merah di Kedah iaitu Tawau; Lahad Datu; Kunak; dan Semporna di Sabah manakala Kota Setar di Kedah,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.