Annuar Musa batal jadual, diarah pengawasan di rumah

1,407

24 SEPT: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa memaklumkan beliau diarahkan untuk menjalani pengawasan dan pemerhatian di rumah kerana merupakan salah seorang kontak kepada Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Razlan Rafii yang disahkan positif COVID-19.

Menurut Annuar yang juga Koordinator BN Pilihan Raya Negeri (BN) Sabah, arahan itu dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu hari ini

“Dengan perintah ini, saya dikehendaki menjalani kurantin di kediaman di Kota Kinabalu bagi tempoh tertentu.

“Untuk makluman, dua hari lepas saya telah jalani ujian RT-PCR COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur dan disahkan negatif.

“Hari ini saya menjalani satu lagi ujian oleh Jabatan Kesihatan Kota Kinabalu dan keputusan dijangka diperolehi sehari dua lagi,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Sehubungan itu, Annuar berkata, dengan dukacitanya beliau terpaksa membatalkan semua jadual yang telah disusun sebelum ini termasuk program Ceramah Perdana Bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, lawatan ke Pitas dan Kota Belud esok.

“Namun insya-Allah saya akan terus bertugas dari kediaman saya dan boleh serta akan berkomunikasi dengan semua peringkat jentera seperti biasa.

“Saya pohon maaf atas sebarang kesulitan berbangkit. Saya menyeru agar semua jentera BN dan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) terus berjuang habis habisan 48 jam terakhir ini dan terus mengajak rakyat Sabah supaya ‘Ubah Balik’, Tolak Warisan’agar rakyat dan bumi Sabah terbela sepenuhnya,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.